SHAH ALAM - Sekretariat rundingan terdiri daripada pemimpin tiga parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas perlu segera diwujudkan sebagai 'jaksa pendamai'.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, ia bagi menyelamatkan kesatuan dan kesepakatan sedia ada sekali gus dapat mengekalkan pemerintahan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, kewujudan sekretariat itu antara lain untuk memastikan persengketaan dalam soal perebutan kuasa dapat dielakkan agar kerajaan PN dapat memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.
"Bagi memastikan usaha pendamaian ini dapat dicapai perlu ada ‘political will’ atau iltizam politik, ‘political commitment’ (komitmen politik) dan juga ‘political sincerity’ (kejujuran politik).
"Perlu ada kelompok pendamai membabitkan tiga parti ini. Cukuplah berebut kuasa sebaliknya menumpukan kepada ekonomi negara akibat pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut, Razali mencadangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai 'pendamai' memandang Ahli Parlimen Marang itu dihormati dalam kalangan pemimpin Bersatu dan UMNO.
"Untuk menjayakan agenda ini secara bersama. Saya cadang Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pencetus gerakan pendamaian ini. Dalam gerakan ini kita perlu satukan tiga parti ini.
"Iltizam yang utama ialah untuk menyelamatkan negara, komitmen politik untuk menyatukan kita dan berpendirian serta berpegang kepada janji yang telah dipersetujui bersama," katanya lagi.
Tambahnya, gabungan Bersatu, UMNO dan Pas merupakan sebuah gabungan terkuat Melayu Islam yang pernah dibentuk, sekiranya ia berpecah maka adalah sukar untuk membinanya semula.