WASHINGTON - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo akan menjadi tuan rumah kepada Menteri Luar Armenia dan Azerbaijan di Washington pada Jumaat untuk membincangkan cara menghentikan pertikaian di wilayah Nagorno-Karabakh, walaupun masih belum pasti sama ada rundingan diadakan secara berasingan atau tiga hala.
Ketika Menteri Luar Azerbaijan, Jeyhun Bayramov dan Menteri Luar Armenia, Zohrab Mnatsakanyan mengesahkan mereka akan mengunjungi Amerika Syarikat pada Jumaat, belum ada pengesahan mengenai kemungkinan pertemuan mereka secara bersemuka.
Jurucakap kementerian Armenia, Anna Nagdalyan memberitahu Sputnik pada Selasa bahawa gencatan senjata yang berterusan dan kekal menjadi keutamaan dalam konteks konflik semasa.
Kementerian Luar Azerbaijan mengesahkan kepada Sputnik bahawa Bayramov akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan ketua bersama Organisasi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) Kumpulan Minsk.
Pompeo awal minggu ini berkata, beliau ingin mendengar apa yang akan diperkatakan oleh kedua-dua perwakilan dan bagaimana mereka dapat mendekati penyelesaian konflik.
Konflik bersenjata di Nagorno-Karabakh telah berlangsung sejak 27 September.
Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk dua gencatan senjata kemanusiaan, namun kedua-duanya dilanggar hanya beberapa jam setelah berkuat kuasa.
Pihak yang berperang terus saling menuduh provokasi dan serangan terhadap penempatan orang awam.
Ketegangan bermula ketika wilayah tersebut berpisah dari Republik Sosialis Soviet Azerbaijan pada 1988. - Bernama