GEORGETOWN - Lebih 100 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang yang disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) telah sembuh manakala bakinya turut menunjukkan perkembangan positif.
Pengarahnya, Mohamed Jusoh Ismail berkata, semua banduan yang sembuh diletakkan di zon hijau di dalam penjara manakala yang belum sembuh akan dipantau petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sehingga kini seramai 200 banduan belum sembuh," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Mohamed Jusoh mengesahkan enam kes positif Covid-19 yang dilaporkan semalam hanya melibatkan banduan selepas keputusan ujian saringan kedua diperoleh.
"Ujian kedua ini memfokuskan kepada banduan yang menunjukkan beberapa simptom dan keputusan ujian kedua ini mengesahkan enam banduan tersebut positif. Kita masih menunggu beberapa lagi keputusan dalam ujian kedua ini," katanya.
Tambahnya, ujian saringan ke atas semua ahli keluarga kakitangan penjara itu yang dijalankan minggu lalu menunjukkan keputusan negatif.
Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters kakitangan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 15 Oktober lalu selepas kes aktif melibatkan banduan dilaporkan meningkat.
Sehingga kini, Kluster Penjara Reman mencatatkan 407 kes bermula daripada salah seorang banduan berusia 85 tahun yang meninggal dunia pada 5 Oktober lalu dan disahkan positif.
Dalam pada itu, bermula semalam, Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal turut diletakkan di bawah PKPD sehingga 4 November ini.
Ia berikutan kes aktif yang dilaporkan di penjara itu meningkat sehingga 95 kes dengan tiga daripadanya melibatkan pegawai penjara.
Bagaimanapun, sehingga petang semalam, tiada kes aktif baharu dilaporkan di Penjara Seberang Perai.
Pengarah Penjara Seberang Perai, Zulkifli Abdul Manah berkata, semua kakitangan penjara dan banduan yang baru dimasukkan telah menjalani ujian saringan.
"Selain itu, banduan lama turut menjalani ujian saringan seperti yang dijadualkan.
"Bagi anggota keluarga kakitangan penjara, mereka akan diperiksa atas nasihat KKM," katanya.