PENJAGA gawang Pulau Pinang, Samuel Somerville tidak menyangka keputusan untuk berhijrah ke skuad Harimau Kumbang bagi musim ini menjadi detik terbaik dalam pembangunan kerjayanya.
Keputusan itu jelas tepat, apabila pemain kelahiran Bracknell, England itu menambat hati pengendali Harimau Kumbang, Manzoor Azwira untuk diturunkan dalam kesemua 11 aksi Liga Premier musim ini, malah menjadi menjadi penjaga gol paling kurang dibolosi dalam saingan divisyen kedua dengan hanya lapan gol dilepaskan.
"Bagi saya ini satu pencapaian yang bermakna, malah ada juga beberapa perlawanan saya berjaya pastikan gawang tidak dibolosi dan paling penting kejuaraan Liga Premier buat Pulau Pinang. Satu lagi impian saya ialah mahu bermain di liga paling tinggi, iaitu di Liga Super selepas beberapa musim di sini.
"Mungkin saya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri untuk bersaing di peringkat ini. Saya harap musim depan akan menjadi tonik terbaik dalam karier dan mampu terus kekal bermain di peringkat tertinggi untuk satu tempoh,” beliau dipetik berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Somerville yang mendapat kerakyatan Malaysia pada 2015 menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT II) dari 2016 hingga 2019, namun sering kali menjadi pilihan kedua di belakang Haziq Nadzli.
Selepas membantu Pulau Pinang meraih gelaran Liga Premier yang sulung pada musim ini, pemain berusia 26 tahun itu kini bertekad untuk terus mempamerkan aksi yang baik dalam saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula dari 6 November ini.
Melalui format secara kalah mati, beliau berharap Pulau Pinang boleh melangkah sejauh mungkin walaupun tidak menafikan pasukan dari Liga Super masih menjadi pilihan utama untuk muncul juara.
"Bagi pusingan awal, saya rasa gembira kerana Pulau Pinang tidak berjumpa dengan pasukan pilihan tetapi itu tidak bermakna boleh ambil mudah dengan cabaran pasukan lain.
"Kami akan cuba untuk mara sejauh mungkin dan tiada tekanan buat Pulau Pinang dalam pertandingan ini selain menghormati kemampuan pasukan lain terutama JDT yang saya lihat antara pilihan utama,” katanya.