SHAH ALAM - Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerima pelantikan jawatan tersebut dengan penuh rasa rendah hati.
Kata beliau, ia atas dasar tanggungjawab dan penghormatan yang tidak berbelah bahagi kepada setiap parti komponen BN.
"Saya sedar, ini merupakan amanah besar yang mesti digalas dengan ikhlas dan sepenuh hati.
"InsyaALLAH, saya akan berusaha sedaya upaya membalas kepercayaan ini demi kepentingan BN terutama dalam usaha mengukuhkan kepercayaan rakyat.
"Saya berdoa, agar segala urusan dalam memikul amanah ini dipermudahkan ALLAH SWT. Amiin Ya Rabbal Alamiin,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid hari ini mengumumkan rombakan kecil dalam kepimpinan BN dengan melantik Hishammuddin sebagai Bendahari Agung BN yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Menurutnya, Tengku Adnan pula akan menjalankan tugas sebagai Bendahari UMNO.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong adalah Menteri Luar dalam Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau sebelum ini merupakan Naib Presiden UMNO namun mengambil keputusan tidak bertanding pada pemilihan parti itu pada 2018.