ALOR GAJAH - Seorang pengawal keselamatan wanita maut diseret sebuah treler di Batu 9 Bukit Balai, Durian Tunggal, di sini petang tadi.
Dalam kejadian jam 3.30 petang, mangsa, K Kali Amma, 31, yang menunggang motosikal jenis Honda dipercayai dalam perjalanan dari Durian Tunggal menghala ke arah Gangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, setiba di satu selekoh, motosikal mangsa hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan menyebabkan mangsa terjatuh.
Menurutnya, pada masa sama kenderaan berat jenis Hanvan G7 yang dipandu Ishak Md Yunus menghala ke pekan Durian Tunggal tidak dapat mengelak lalu menyeret mangsa.
"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, penduduk Mohd Harun Mohd Yusof, 70, terkejut mendengar dentuman kuat dari arah rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian dan menyangkakan muatan treler berkenaan berterabur di atas jalan.
Namun menurutnya, dia terkejut melihat mangsa di atas jalan dalam keadaan yang mengerikan.
"Sini memang selalu kemalangan tapi pak cik ingat barang yang jatuh, bila keluar dan lihat dekat terkejut ada kemalangan maut," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.