Pengalaman hidup zaman darurat

Iklan

UMUR Pak Su tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda. Sepanjang hidup Pak Su pernah juga merasa keadaan negara kita diisytiharkan darurat.

Bukan darurat sebelum Merdeka dan juga darurat 13 Mei, tetapi darurat jerebu.

Iklan
Iklan

Pada waktu itu, bencana jerebu yang berpunca daripada pembakaran terbuka di Indonesia menyebabkan Malaysia terpaksa mengisytiharkan darurat sebanyak tiga kali.

Pertama kali pada 19 September 1997 di Sarawak, apabila bacaan IPU mencecah 600. Kemudian diikuti Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang pada 11 Ogos 2005 apabila bacaan IPU melebihi 500 dan terakhir di Muar dan Ledang, Johor pada 23 Jun 2013 (IPU melebihi 500).

Iklan

Apa yang Pak Su ingat pada waktu itu suasana menjadi mendung, panas dan tekak terasa sakit apabila jerebu menyelubungi persekitaran kita.

Sekolah-sekolah telah diarahkan untuk ditutup kerana membahayakan kesihatan pelajar dan guru. Golongan yang berisiko seperti ibu mengandung, pesakit asma dan warga emas juga diminta berkurung di dalam rumah.

Iklan

Pak Su ditugaskan untuk membuat liputan berita di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang yang bacaan IPU berbahaya.

Pada ketika itu, dapat dilihat orang ramai tanpa perlu dipaksa berada di dalam rumah dan mengelak untuk menyedut asap jerebu.

Orang kita sebenarnya mudah akur kepada arahan apabila bahaya jelas di depan mata dan tidak perlu diadakan sekatan jalan raya ataupun kompaun untuk mendisiplinkan rakyat.

Ketika ini selain kebimbangan dengan desas-desus darurat, isu yang paling serius perlu diberi perhatian adalah apabila ramai yang mula hilang mata pencarian akibat Covid-19.

Apabila kes meningkat mendadak dengan jumlah pesakit positif sekitar 800 orang sehari, ditambah pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan dan Sabah (Diperketatkan), ramai yang mula terkesan.

Peniaga yang baru hendak ‘bernafas’ dan berkira-kira untuk kembali mengumpul modal, terpaksa akur hilang pelanggan.

Begitu juga pengusaha kantin, pengusaha van sekolah, tukang urut, pekerja hotel dan ramai lagi yang terkesan dengan PKP siri pertama, mula merintih terpaksa mengharungi semula tempoh keperitan ketika ini.

Seperti data yang dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Mei lalu, dianggarkan 2.4 juta pekerja akan hilang pekerjaan, 46 peratus individu atau lebih dua juta individu yang bekerja sendiri akan hilang mata pencarian.

Kira-kira 35 peratus individu yang bekerja sendiri juga mengakui mereka hilang pendapatan sehingga 90 peratus dan majoriti daripada mereka hanya mempunyai simpanan yang mampu bertahan selama sebulan.

Paling merisaukan lebih 1.26 juta rakyat dijangka akan terjun ke kategori miskin relatif pada bulan-bulan mendatang.

Dan itu adalah data sehingga bulan Mei dan kini sudah menghampiri hujung Oktober. Daripada mata kasar Pak Su, jumlah yang hilang pekerjaan dan terjejas mata pencarian makin bertambah dan kemungkinan lebih drastik jika keadaan seperti ini masih berterusan.

Akhir sekali, Pak Su amat menyokong gesaan Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) supaya bank melaksanakan semula moratorium keseluruhan sekurang-kurangnya tiga bulan lagi ke atas pinjaman khususnya golongan berpendapatan rendah.

Pak Su senada dengan Setiausaha Agung NUBE, J Solomon bahawa moratorium bersasar yang diperkenalkan mulai bulan ini tidak menangani kesulitan kewangan dalam mengharungi Covid-19.

Yang membuatkan Pak Su sokong sangat gesaan itu adalah kerana ia datang daripada mereka yang bekerja dengan bank, yakni golongan yang paling arif mengenai kewangan. Mereka tahu kedudukan kewangan semasa bank dan kepayahan yang dihadapi peminjam ketika ini.

Pak Su harap sangat kepayahan rakyat diutamakan daripada sibuk kepada hal-hal untuk kepentingan diri seperti berebut kuasa dan pangkat.