Lantik tokoh berintegriti pimpin negara jika berlaku darurat

Iklan
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

SHAH ALAM - Sayap Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Pergerakan Wira Putra menyarankan tokoh yang berintegriti, berwibawa dan negarawan yang dihormati dan diterima oleh semua pihak dilantik bagi memimpin negara jika diisytiharkan darurat.

Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, sekiranya tindakan mengisytihar darurat atau apa juga nama seumpamanya dibuat dengan mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, ia akan mewujudkan perspektif buruk terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan institusi diraja.

Iklan
Iklan

Katanya, Wira Putra kekal dengan pendirian negara perlu diisytihar darurat untuk menangani wabak koronavirus (Covid-19) serta menyelesaikan ketegangan politik yang tidak membawa keuntungan kepada negara.

"Pertemuan Tan Sri Muhyiddin dengan Yang di-Pertuan Agong seperti dikhabarkan hari ini dan pengisytiharan darurat yang kemungkinan bakal diwartakan sudah menjadi bualan orang ramai dan mula menimbulkan persepsi yang pelbagai.

Iklan

"Wira Putra mohon ampun perkenan Seri Paduka Baginda selaku ketua negara yang sudah pasti memandang keadaan ini dengan amat serius sebelum keadaan ekonomi negara dan kesejahteraan serta keselamatan rakyat menjadi lebih buruk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan langkah darurat sewajarnya sebagai satu langkah melakukan pembetulan dan penambahbaikan pada sektor ekonomi dan keselamatan negara dan bukan kerana motif kepentingan politik mana-mana pihak.

Iklan

Katanya, pengajaran yang baik perlu diteladani kepada generasi masa depan supaya kualiti pemimpin muda akan terus mencerminkan sikap ketelusan dan tanggungjawab menangani sebarang isu kritikal seperti yang berlaku kini.

Perdana Menteri hari ini dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung cadangan mengisytiharkan darurat ekoran penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Spekulasi mengenai pengisytiharan darurat bagi menangani Covid-19 itu memuncak selepas Mesyuarat Khas Kabinet pagi tadi dan difahamkan pengisytiharan darurat itu antara yang dibincangkan.