Makanan bayi antara 81 produk luput tarikh

Iklan
Pemilihan ikan secara rawak bagi tujuan persampelan.

IPOH - Produk tenusu dan makanan bayi antara 81 produk makanan sudah tamat tarikh luput dikesan dijual ketika pemeriksaan di 12 premis di seluruh Perak.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pemeriksaan sempena Op Zhu bermula 18 hingga 30 Januari itu turut mengesan 126 makanan dalam bungkusan sudah rosak.

Iklan
Iklan

"Sebanyak 876 produk makanan di pasar raya, kedai runcit dan mart diperiksa untuk pematuhan tarikh luput dan keadaan bungkusan. Daripada jumlah itu, 126 bungkusan produk makanan terutama dalam tin didapati kemek dan alamat pengimport tidak dinyatakan pada label.

"Sementara itu, 81 produk antaranya hasil tenusu, makanan bayi dan kacang didapati telah tamat tarikh luput. Kesemua 207 produk makanan bernilai lebih RM4,678 ini disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada pelancaran Operasi Keselamatan Makanan (Op Zhu) Peringkat Perak di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Dr Lay Ming (kanan) ketika membuat pemeriksaan tarikh luput barangan hamper sempena Operasi Keselamatan Makanan (Op Zhu) Peringkat Perak di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Operasi secara besar-besaran sempena Tahun Baru Cina itu dijalankan secara serentak di seluruh negeri hari ini bermula jam 11 pagi.

Iklan

Menurutnya, bagi kesalahan itu, dua notis di bawah Seksyen 32B telah dikeluarkan kepada penjual kerana melanggar Peraturan 14(9)(b), Peraturan-peraturan Makanan 1985.

"Sebuah premis dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 dan jumlah kompaun ini mungkin meningkat berikutan operasi keselamatan yang kita jalankan secara serentak di seluruh negeri hari ini,” katanya.

Beliau berkata, sempena musim perayaan ini, Jabatan Kesihatan menjalankan penguatkuasaan ke atas 65 sampel makanan terdiri buah-buahan, sayuran dan daging.

"Sebanyak 21 produk dianalisis untuk aditif makanan; analisis pencemaran kadmium iaitu logam berat (15); analisis cemaran mikologi (5); analisis sisa baki makhluk perosak (15) dan saki baki dadah veterinar (9).

"Bagi tujuan sama, enam premis pemprosesan daging salai di sekitar daerah Kinta juga diaudit dan hasilnya mendapati, kesemua premis berada pada tahap kebersihan memuaskan,” katanya.