Pemenang politik ketika UMNO tersepit

Iklan
Langkah 13 Oktober dilihat lebih menguntungkan Muhyiddin dan turut memanfaatkan Anwar dalam menguatkan kembali gabungan PH. UMNO paling tersepit.

SEHARI selepas sidang media menggemparkan di Kuala Lumpur pada 24 September lalu apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau memiliki sokongan ahli Parlimen ‘meyakinkan’ untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), penulis ada membuat satu ramalan.

Memandangkan pengumuman Anwar dibuat dua hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 26 September, terdapat ratusan analisis dikemukakan para pemerhati politik tanah air terdiri daripada tokoh akademik, ahli politik bahkan rakyat marhaen.

Iklan
Iklan

Pelbagai teori dibuat kononnya Anwar sekadar melakukan gimik bagi memastikan Warisan Plus yang diterajui Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kekal mentadbir Sabah dan ada yang kata Anwar mengulangi langkah terdesak untuk jadi Perdana Menteri.

Penulis secara peribadi mengemukakan jangkaan berbeza iaitu terdapat kemungkinan langkah politik baharu Anwar itu secara tidak langsung ‘membantu’ kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terus bertahan buat sementara waktu.

Iklan

Penulis juga berpandangan ‘Langkah Anwar’ itu secara tersirat bakal memberi kesan negatif terhadap imej UMNO yang sudah lama dikaitkan dengan percaturan politik Presiden PKR itu.

Alasan penulis mudah, setelah dua kali Anwar gagal dalam usaha mendapatkan angka bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan dua bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2008 dan Tun Dr Mahathir Mohamad (pada Februari 2020), takkan beliau masih begitu bodoh untuk mengulangi taktik lapuk itu?

Iklan
Anwar

Lagipun berbeza dengan pengumuman sebelum ini, figura bernama Anwar kali ini dilihat begitu tenang, seolah-olah menggambarkan strategi kali ini penuh muslihat.

Jika diselami kembali apa yang berlaku sebelum itu, Anwar sebenarnya dianggap semakin hilang cengkaman dalam Pakatan Harapan (PH).

Dengan rakan-rakan dalam PH seperti DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat semakin ‘bermesra’ dengan kem Dr Mahathir, termasuk secara terbuka menyokong pencalonan Mohd Shafie sebagai bakal Perdana Menteri, Anwar menyedari ‘hayat’ politiknya bakal berakhir jika satu langkah radikal tidak diambil.

Pecah tiga

Dari satu sudut lain pula, UMNO juga berdepan dilema besar untuk terus bersama kerajaan PN dipimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kerajaan pimpinan Muhyiddin sejak awal pembentukan lagi didakwa membuli dan cuba ‘membunuh’ parti itu, bermula daripada isu penawaran jawatan Kabinet kurang penting sehingga konflik pelantikan Ketua Menteri Sabah selepas berakhirnya PRN Sabah.

Kesannya kepada pucuk pimpinan UMNO diketuai yang diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak (belakang tabir) adalah amat besar.

"Seperti nasib Anwar dalam PKR, Ahmad Zahid juga dilihat semakin kehilangan dominasi terhadap kepimpinan UMNO, selain mengundang kemarahan akar umbi parti yang melihat parti itu semakin lemah dalam mendepani Bersatu.

"Pada masa sama, 39 ahli Parlimen UMNO juga dikatakan berpecah kepada tiga kumpulan iaitu kelompok yang menyokong Ahmad Zahid (lebih kurang 15 ahli Parlimen), kelompok ahli Parlimen mendapat jawatan Kabinet (cenderung menyokong PN) dan kelompok berkecuali diketuai Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian kepada Sinar Harian semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: 15 soalan dan jawapan berkaitan darurat

PM menghadap Agong di Istana Abdul Aziz Indera Mahkota

Spekulasi darurat: Muhyiddin menghadap Agong

Sama seperti Anwar, Ahmad Zahid juga memerlukan satu langkah radikal untuk mengekalkan kedudukannya selaku Presiden UMNO, lebih-lebih lagi proses pemilihan parti itu difahamkan akan berlangsung tahun hadapan.

Dari sudut Muhyiddin pula, kejayaan kerajaan PN menangani gelombang pertama dan kedua pandemik koronavirus (Covid-19) bermula bulan Mac lalu sekali gus membantu meningkatkan populariti beliau pada kaca mata rakyat marhaen.

Muhyiddin

Namun, hujan turun tidak sampai ke petang. Kerajaan Muhyiddin dan PN mula menunjukkan kelemahan.

"Rakyat marhaen kini berang dengan sikap kerajaan Muhyiddin yang seolah-olah bersikap double standard dalam menguatkuasakan kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kuarantin Covid-19 dalam kalangan orang kenamaan dan ahli politik.

"Ditambah tekanan berterusan UMNO mendesak pembubaran Parlimen segera dilakukan, Muhyiddin menyedari beliau memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun bagi mengukuhkan kedudukan Bersatu dalam koalisi Muafakat Nasional (MN) dan ‘menjinakkan’ UMNO dalam menyelesaikan isu pembahagian kerusi pilihan raya.

"Ini kerana Bersatu, UMNO dan Pas sebelum ini bertanding di kerusi sama iaitu majoriti pengundi Melayu Islam. Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilihat sebagai ‘jambatan’ terbaik bagi Muhyiddin mengendurkan tuntutan UMNO terhadap Bersatu,” kata sumber Pemuda UMNO kepada Sinar Harian.

Justeru, bermula peristiwa Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, disusuli tuntutan ‘kata dua’ UMNO terhadap Muhyiddin, pendedahan usul undi tidak percaya Tengku Razaleigh kepada Muhyiddin, penularan surat sokongan ahli Parlimen UMNO kepada Anwar dan UMNO akhirnya akur saranan genjatan politik.

Anwar digambarkan sekali lagi berputih mata untuk menjadi Perdana Menteri.

Tambahan masa

Namun, jika diamati betul-betul plot drama Game of Thrones Malaysia yang masih berlangsung, Muhyiddin dan Anwar boleh dianggap sebagai pemenang pusingan awal Langkah 13 Oktober.

Setakat kelmarin, UMNO akhirnya dilihat terpaksa akur dengan tuntutan gencatan politik dikemukakan rakyat, gagal memberi tekanan sepatutnya kepada Muhyiddin dan berpotensi hilang kepercayaan pengundi Melayu susulan tindak-tanduk politik terkini yang mencurigakan.

Secara tersirat, Langkah 13 Oktober itu juga memberi kemenangan moral kepada Anwar apabila beliau dilihat berjaya memecahbelahkan UMNO dan PN, mengembalikan kepercayaan Amanah dan DAP untuk terus kekal menyokongnya, malahan berjaya mencuri sokongan seorang ahli Parlimen kem Dr Mahathir, Dr Maszlee Malik.

Sivamurugan Pandian

Hakikatnya, tidak kira Muhyiddin atau Anwar, kedua-dua pemimpin sebenarnya memerlukan tambahan masa untuk mengukuhkan kedudukan parti dan pakatan politik masing-masing bagi menghadapi PRU15.

"Anwar mungkin menyedari apabila parti-parti Melayu seperti UMNO dan Pas tidak sehaluan pada PRU14, parti lain seperti Bersatu yang bersama PH ketika itu boleh mengambil kesempatan untuk menarik sokongan pengundi Melayu,” tambah Ibrahim.

Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian yang menyifatkan episod Langkah 13 Oktober masih belum menoktahkan siapa pemenangnya.

"Apabila gencatan politik diumumkan UMNO, pendirian itu hanya bersifat sementara.

"Gencatan ini juga mungkin membawa fasa baharu proses rundingan damai antara UMNO dan Muhyiddin.

"Namun, sekiranya rundingan damai dikemukakan masih longgar, skrip konflik sama akan berulang dengan kemungkinan Parlimen dibubarkan segera bagi menyelesaikan ketidakstabilan politik negara,” katanya.

UMNO