Ahli politik perlu perkasakan integriti

Iklan
Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar

SHAH ALAM – Ahli politik perlu menunjukkan contoh yang baik untuk memperkasakan nilai integriti bagi memastikan masa depan negara tidak gelap akibat budaya rasuah.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, pemimpin yang dibayar gaji dan yang bertanggungjawab perlu mencari jalan supaya integriti dalam kalangan rakyat ini dapat dipertingkatkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan integriti dalam kalangan generasi muda ketika ini berada pada tahap membimbangkan dan masalah itu perlu segara ditangani.

"Statistik tangkapan SPRM menunjukkan 53 peratus daripada 5,000 pesalah yang ditangkap dalam tempoh 2013 hingga 2019 membabitkan pegawai atau pekerja yang berusia 29 hingga 39 tahun iaitu kelompok muda atau gen Y.

Iklan

"Keadaan ini menunjukkan kelompok ini sekarang sudah teruk. Lebih teruk apabila membabitkan perdana menteri, menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan,” katanya.

Berkongsi lanjut, Akhbar memberitahu, kajian yang dilakukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan SPRM pada tahun 2002 juga mendedahkan realiti mengejutkan apabila 30 peratus penuntut universiti yang disoal selidik mengakui sanggup untuk mengamalkan rasuah jika ada kuasa dan peluang.

Iklan

"Pada tahun 2020 sekarang, kesemua mereka telah memasuki alam pekerjaan mungkin ada yang menjadi pegawai tadbir, pegawai bank dan ahli politik.

"Ini bermakna integriti golongan muda sekarang sudah teruk. Jika kita tidak perbaiki, masa depan negara akan gelap kerana golongan muda inilah yang seterusnya akan memimpin negara,” katanya.

Berikutan itu katanya, menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memperbetulkan situasi itu sebelum terlambat.

"Sekarang kita tengok mereka lebih bergaduh sesama sendiri, tiada masa untuk memikirkan masalah rakyat terutama dalam keadaan wabak koronavirus (Covid-19) sekarang,” katanya.

Beliau menjelaskan, mengikut teori fraud, rasuah berlaku disebabkan tiga faktor iaitu mengejar peluang, tekanan dan rasionalisasi iaitu bila melihat orang atas melakukan rasuah, orang bawahan juga melakukan perkara sama.

"Itu merupakan satu faktor orang muda sekarang ikut sebab orang politik pun terlibat dan ramai kena tangkap sebab rasuah. Jadi kalau pemimpin boleh ambil, mereka fikir mereka juga boleh buat. Jika kita tidak tumpu selesaikan masalah ini, masa depan kita gelap,” katanya.