IPOH - Keputusan membenarkan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong ketika ini dibimbangi boleh mengheret istana ke kancah politik.
Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kebanyakan keputusan berhubung dengan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sejak Merdeka diselubungi kontroversi.
Namun menurutnya, dalam senario sekarang, darurat bukan pilihan sebaliknya terdapat pilihan lain yang boleh dilakukan.
Beliau berkata, biarpun perisytiharan darurat diizinkan oleh Perlembagaan, ia perlu dibataskan dan dilakukan dengan memastikan tiada penyalahgunaan.
"Adalah dicadangkan hal tersebut dirundingkan dengan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang lain. Perkara yang amat kritikal ini sepatutnya tidak diputuskan secara tergesa-gesa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Aziz berkata, institusi Yang di-Pertuan Agong harus melihat keputusan menangguhkan darurat itu untuk menekankan betapa ia adalah elemen semak dan imbang bahkan penjaga Perlembagaan negara.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu beranggapan rakyat pasti lega dengan tindakan Yang di-Pertuan Agong menangguhkan keputusan perisytiharan darurat yang dikatakan dicadangkan oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu, desas-desus pelaksanaan darurat akan dilaksanakan kerajaan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz Indera Mahkota, Pahang, semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: 15 soalan dan jawapan berkaitan darurat