PENGENDALI Tottenham Hotspur, Jose Mourinho mengharapkan Son Heung-min akan diberikan kontrak jangka panjang baharu yang lumayan segera setelah bintang Korea Selatan itu memberikan impak positif sepanjang bersama kelab London berkenaan.
Pengurus dari Portugal berusia 57 tahun itu percaya bahawa berdasarkan prestasi dipamerkan Heung-min sewajarnya pemain itu diberikan perjanjian baharu yang bakal menjadikannya antara penerima gaji paling lumayan di kelab berkenaan.
"Sejujurnya saya suka sekiranya Heung-min dikekalkan, sebelum ini dia mempunyai kontrak tiga tahun yang tidak mengundang sebarang kebimbangan kepada semua pihak di sini.
"Banyak perkara yang akan menyebabkan Heung-min teruja berada di sini, saya optimis dia akan memberikan komitmen jangka panjangnya di sini. Semua orang di kelab ini begitu amat menyenangi dengannya dan berusaha menjadikannya sebahagian perancangan masa depan kelab.
"Heung-min sering melakukan yang terbaik pada setiap musim sekali gus membuktikan dia dalam kelas tersendiri di sini,” katanya.
Penyerang berusia 28 tahun itu yang kontraknya bakal berakhir pada 2023, dilaporkan dalam perbincangan mengenai perjanjian baharu untuk mengekalkannya bersama The Lilywhites.
Heung-min pada musim ini menjaringkan sembilan gol dalam lapan perlawanan selain memberikan empat bantuan gol di samping membentuk gandingan digeruni bersama Harry Kane.
Heung-min yang meledak gol untuk Spurs selepas dimasukkan pada babak kedua ketika anak buah Mourinho melakar kemenangan 3-0 ke atas kelab Austria, LASK dijangka kembali membarisi kesebelasan utama kelab menjelang kunjungan ke Turf Moor menentang Burnley pada Isnin.
The Clarets sebelum ini hanya berjaya mengutip satu mata dari empat perlawanan pembukaan tetapi Mourinho tidak menyifatkan itu sebagai kelebihan kepada Tottenham sebaliknya yakin kelab kendalian Sean Dyche lebih berbahaya menjelang akhir musim.
"Anda akan dapat melihat kekuatan sebenar Burnley pada Mac, April pada ketika banyak kelab berjuang mengelak penyingkiran, dan mereka akan selamat.
"Mereka akan berada di kedudukan kelapan, kesembilan, ke-10, dan berada di kedudukan yang selesa inilah Burnley,” katanya.