IDEA untuk menjadikan sukan sebagai industri yang menyumbang kepada kekayaan negara sebagaimana yang mahu dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilihat sebagai satu langkah ke hadapan.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, satu mekanisme yang kritis serta teliti perlu diatur bagi menjayakan perancangan tersebut.
Beliau berkata, semua pihak berkepentingan perlu mengenal pasti sukan teras yang mampu menyumbang kepada kewangan, pekerjaan dan memberikan impak kepada ekonomi negara.
"Ia satu idea yang menarik dan luar biasa. Negara mempunyai beberapa sukan teras yang bersifat antarabangsa yang mampu memacu industri sukan seperti bola sepak, badminton, boling dan golf.
"Namun, ia memerlukan pelan terbaik selain mengenal pasti elemen-elemen yang mampu memberikan pulangan dan peluang pekerjaan kepada rakyat, sekali gus menyumbang kepada kekayaan negara,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad baru-baru ini menjelaskan mahu mengangkat sukan sebagai satu industri, sekali gus bakal menyumbang kepada kekayaan negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Model baharu kukuhkan belia dan sukan
Mengulas lanjut, Mohd Sadek menegaskan untuk menjadikan sukan sebagai satu industri bukanlah tugas yang mudah dan memerlukan sekurang-kurangnya 15 tahun untuk melihat hasilnya.
"Lima tahun pertama adalah proses perancangan dan penggerak. Lima tahun kedua adalah untuk melihat penambahbaikan kepada proses yang telah direncanakan. Lima tahun terakhir itu kita akan nampak momentum dan perkembangannya dengan kaitan industri tersebut kepada hiliran.
"Tempoh 15 tahun itu bolehlah dianggap realistik dan jika ia dibangunkan secara tidak teliti, saya risau industri tersebut tidak mampu bertahan kepada perkara luar jangka,” ujarnya.
Beliau turut mengharapkan pihak kerajaan dapat memberikan suntikan kewangan kerana ia langkah paling penting dalam usaha memastikan sukan mampu bergerak menjadi sebuah industri.
"Menteri perlu memanggil semua pemegang taruh yang berkenaan untuk mereka dapat memberi input kepada KBS supaya perancangan dapat dirangka bersama Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi negara.
"Sebabnya, apabila nak cerita pasal industri ini, ia memerlukan suntikan dan ia perlu datang daripada kerajaan sebagai satu pemangkin apatah dalam keadaan Covid-19 sekarang ini yang menyaksikan industri sukan paling terkesan.
"Selain itu, apa yang ingin dibawa oleh menteri itu saya lihat perlu ada penglibatan semua pihak dan tidak terkecuali pihak universiti kerana ia penting dalam membentuk landskap baharu dalam kalangan rakyat Malaysia dalam 15 tahun akan datang,” jelasnya.