IPOH - Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim daripada UMNO sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak bukan bermotifkan politik.
Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pelantikan itu untuk membantu kestabilan pentadbiran peringkat kerajaan negeri atas pengalaman dua penggal beliau sebagai wakil rakyat.
"Pengalaman itu sudah tentu boleh membantu menteri besar dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.
"Sebenarnya sesiapapun boleh dilantik cuma kebetulan yang dilantik itu ADUN Barisan Nasional (BN) dan mungkin menteri besar sendiri nampak beliau boleh beri sumbangan," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak itu berkata, pertikaian yang dinyatakan UMNO berhubung lantikan itu sebelum ini adalah sesuatu yang pelik dan tidak wajar.
Katanya, sebagai sebuah gabungan kerajaan, pimpinan parti itu sepatutnya berbangga apabila ada individu daripada parti dilantik untuk satu jawatan tinggi di peringkat kerajaan ini.
"Dalam hal ini patutnya ahli-ahli Bersatu yang patut marah kenapa tidak dilantik, tetapi perkara itu tidak berlaku, kami lebih steady, terbalik pula di pihak sana yang membantah," katanya.
Terdahulu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mempertikaikan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melantik Aznel yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik sebagai setiausaha politiknya kerana ia tidak dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.
ARTIKEL BERKAITAN: Persefahaman PN di Perak makin pudar
Pemuda UMNO Perak persoal lantikan setiausaha politik MB Perak
Mengulas lanjut, Zainol Fadzi berkata, gencatan politik yang disambut baik semua pemimpin telah meredakan konflik hubungan antara kedua-dua parti apabila masing-masing kini lebih fokus kepada usaha kerajaan negeri membantu kebajikan rakyat menghadapi krisis ekonomi dan kesihatan.
"Saya lihat perkara ini sudah selesai dan berlalu. Mesyuarat Exco minggu lalu pun berjalan seperti biasa walaupun ada kenyataan-kenyataan panas dikeluarkan pemimpin-pemimpin parti mengenai isu ini.
"Menteri besar sendiri yang pengerusikan mesyuarat dan Datuk Saarani juga ada hadir, masing-masing sudah boleh terima bahawa 'past is past' dan teruskan dengan episod baharu," katanya.
Terdahulu, Zainol Fadzi menyampaikan sumbangan kepada seorang bekas wartawan, Jaspal Singh, 49, yang menderita kencing manis kronik hingga kehilangan kaki kanan di kediamannya di Taman Suria di sini.
Jaspal yang menjalani pembedahan pada awal September lalu telah terlibat dalam bidang kewartawanan sejak 1997 dan pernah berkhidmat sebagai wartawan New Straits Times (NST) selama 12 tahun dan Ketua Biro Malay Mail selama 18 bulan sebelum mengambil keputusan bersara pada 2016.
Turut disampaikan sumbangan daripada rakan media berjumlah RM4,100 melalui Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak.