IPOH - Barisan Nasional (BN) Perak akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung kedudukan MIC dan MCA yang didakwa dipinggir di dalam pentadbiran.
Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, pandangan yang ditimbulkan oleh Pemuda MIC dan MCA Perak baru-baru ini dilihat perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan, suara-suara kumpulan seperti ini tidak harus dipandang sepi dan perlu bersedia melayani kehendak mereka bagi meminimumkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.
"Sudah tentu perkara ini akan diberikan perhatian. Saya wakil kepada BN di dalam kerajaan manakala MIC dan MCA pula merupakan komponen BN. Sebagai pengerusi BN, apa yang diluahkan itu, saya kena bincang di dalam kerajaan negeri supaya kerajaan negeri dapat memberikan perhatian kepada kelompok ini.
"Insya-ALLAH kita akan berikan perhatian dan dalam Mesyuarat Exco akan datang kita akan maklumkan," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan Kepada Sukarelawan PPE anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Perak di sebuah hotel di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan media bersama Ketua Pemuda MIC Perak, S Jeyaganes dan Ketua Pemuda MCA Perak, Daniel Wa Wai How yang disiarkan sebuah portal berita menyatakan kedua-dua parti itu dipinggirkan di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Saarani berkata, semua pihak berhak memberikan sebarang komen terhadap pentadbiran kerajaan dan kerajaan pula perlu memberikan perkhidmatan yang dapat dirasai oleh seluruh masyarakat.
Katanya, mustahil untuk sesebuah kerajaan itu dapat memenuhi kehendak semua rakyat namun mereka mempunyai pilihan untuk memintakan rasa tidak puas hati dengan melayani kehendak kelompok tertentu.
Dalam perkembangan lain, Saarani yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak berkata, kerajaan negeri sangat menghargai sumbangan tenaga kakitangan Kemas dan sukarelawan yang membantu menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) ketika gelombang pertama Koronavirus (Covid-19) lalu.
Menurutnya, sebanyak 9,918 PPE yang berjaya dihasilkan oleh 130 kakitangan Kemas bersama 54 sukarelawan di seluruh daerah di negeri ini.