KUANTAN - Selain kata-kata manis, pelbagai cara lain dilakukan seorang suami dalam menzahirkan perasaan cinta buat isteri dan sejarah menjadi bukti bagaimana cinta diterjemahkan dalam pembinaan monumen indah seperti Kellie's Castle di Perak dan Taj Mahal di India.
Begitulah juga yang dilakukan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila menzahirkan cinta terhadap isteri baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dengan membina Istana Abdulaziz.
Ramai yang tidak menyedari sebenarnya nama Abdulaziz yang digunakan pada istana yang dibina di atas bukit di Indera Mahkota di sini adalah kombinasi pangkal nama Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.
Hal itu diakui sendiri oleh Tunku Azizah menerusi pegawai media baginda Zamzurina Ahmad ketika media memohon perkenan untuk membuat artikel tentang istana berkenaan.
"Baginda (Tunku Azizah) turut memaklumkan idea untuk menamakan istana berkenaan dengan nama Abdulaziz diperoleh semasa menunaikan haji bersama Sultan Abdulah dan ia membawa maksud hamba Allah yang mulia,” katanya.
Sementara itu, Datuk Zulkifli Jaafar, 72, arkitek yang bertanggungjawab mereka bentuk istana berkenaan berkata proses rekaan dan pembinaan istana itu telah bermula pada 1986 dan siap dibina sepenuhnya pada 1991.
Mengimbas kembali peristiwa itu, Zulkifli berkata beliau telah dipanggil menghadap Sultan Abdullah pada 1986 sejurus setelah baginda berkahwin dengan Tunku Azizah bagi membincangkan mengenai pembinaan sebuah istana yang baharu.
"Sultan Abdullah mahu bina satu Istana baharu di Atabara (nama lama Indera Mahkota) dan Tuanku mahu istana baharu itu berada di atas bukit. Dalam perjumpaan itu juga, Tuanku telah meminta supaya saya berurusan secara terus dengan Tunku Azizah dalam mereka bentuk Istana tersebut.
"Reka bentuk dan konsep Istana Abdulaziz itu datangnya daripada hasil idea, kerjasama dan cadangan oleh Tunku Azizah sendiri, kebebasan penuh diberikan kepada Tunku Azizah pada masa itu,” katanya kepada Bernama.
Hasilnya terbinalah istana dua tingkat itu tersergam indah dengan bumbung simbolik berwarna biru muda dan diserikan dengan seni bina berkonsepkan neoklasik ang menjadi kebanggaan rakyat Pahang.
Istana yang terletak kira-kira 10 km daripada pusat bandar Kuantan, di atas bukit dengan keluasan tanah 17.2 hektar itu, dilengkapi dengan kemudahan seperti perpustakaan dan balai menghadap selain landskapnya yang memukau.
Tambah Zulkifli lagi, Tunku Azizah merupakan seseorang yang teliti dalam melakukan perancangan dan amat mementingkan keselesaan dalam reka bentuk kediamannya.
"Tunku Azizah tidak mahu Istana yang besar-besar atau mewah, itu bukan keutamaannya dan ini jelas mencerminkan sifat rendah diri yang ada pada diri baginda berdua,” tambah Zulkifli yang juga merupakan arkitek Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan. - Bernama