Tiada lombong, pembalakan haram di Hutan Lubuk Yu

Iklan
JAS Negeri Pahang mengesahkan tiada aktiviti perlombongan dan penebangan balak haram di radius 13 kilometer dari Sungai Lubuk Yu yang dilaporkan tercemar, Khamis lalu.

PEKAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang mengesahkan tiada aktiviti perlombongan dan penebangan balak haram di radius 13 kilometer dari Sungai Lubuk Yu yang dilaporkan tercemar, Khamis lalu.

Pengarah JAS Pahang, Mohd Sani Md Daud berkata, pihaknya telah melakukan siasatan bersepadu bersama dengan Pejabat Tanah dan Galian Daerah Maran ke lokasi berkenaan pada petang hari yang sama ia dilaporkan keruh.

Iklan
Iklan

"Kami menelusuri sungai tersebut secara manual sehingga 13 kilometer dan agensi terlibat turut menerbangkan dron untuk membuat tinjauan.

"Tiada penebangan balak haram atau perlombongan yang boleh dikaitkan dengan punca pencemaran, namun kita tidak menolak kemungkinan kekeruhan air sungai tersebut berlaku disebabkan tanah runtuh atau hakisan tebing.

Iklan

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dan kita mendapat maklumat bahawa air sudah kembali jernih seperti sediakala. Pada hari pertama, ujian air mendapati memang ia tercemar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (e-waste) Sempena Hari Alam Sekitar Negara 2020 Peringkat Negeri Pahang di Kampung Parit Engku Dato, Pekan, di sini, hari ini.

Iklan

Sementara itu, Mohd Sani berkata, kempen pengumpulan e-waste telah dilaksanakan sejak 17 September lalu di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan akan diteruskan di beberapa lokasi lain.

Menurutnya setakat ini JAS berjaya mengumpulkan sejumlah empat tan e-waste di sekitar Kuantan, Pekan dan Indera Mahkota.

"Kita menyasarkan lima tan keseluruhan e-waste dan Insya-ALLAH selepas ini kita akan ke Rompin, Temerloh serta Cameron Highlands, saya yakin jumlah itu mampu dicapai.

"Diharapkan kempen ini akan memupuk dan memberi kesedaran agar pihak awam prihatin serta menguruskan e-waste mereka mengikut kehendak alam sekitar yang baik," katanya.

Mohd Sani berkata, pemimpin setempat juga disarankan agar menyokong usaha ini dengan mengumpulkan bahan e-waste di suatu tempat yang boleh diuruskan secara bersama JAS Pahang.