PETALING JAYA - Perbicaraan kes Datuk Farid Kamil Zahari yang didakwa menampar anggota polis trafik dan menggunakan dadah, ditangguhkan lagi hari ini kerana peguam yang mewakili pelakon serta pengarah itu belum sembuh daripada kecederaan akibat kemalangan minggu lalu.
Peguam Mohd Hafiz Zainol Abidin, yang menyebut bagi pihak peguam Megat Syazlee Mokhtarom, memohon tarikh baharu selepas memaklumkan keadaan Megat Syazlee pada sebutan semula kes di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.
"Megat Syazlee masih dalam cuti sakit sehingga 14 Februari selepas menjalani pembedahan pada 23 Januari lalu berikutan kemalangan ketika menunggang motosikal baru-baru ini dan mengalami kecederaan serius pada bahagian tangan dan kaki," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Peguam kemalangan: Bicara Farid Kamil tampar polis ditangguh
ARTIKEL BERKAITAN: 'Dia tampar polis, terjerit-jerit macam orang gila'
Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran tidak membantah selepas pihak pembelaan mengemukakan cuti sakit dan memohon tarikh baharu untuk sambung bicara kesemua kes yang dihadapi Farid Kamil.
Nor Ariffin kemudian menetapkan 27 Februari serta 13, 14, dan 15 Mac sebagai tarikh sambung bicara itu.
Pada 16 Januari tahun lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.
Sembilan hari kemudian, pada 25 Januari 2018, Farid Kamil turut mengaku tidak bersalah menggunakan dadah jenis tetra hydrocannibol. - Bernama