Enam lagi kluster baharu Covid-19 dikesan

Iklan
DR NOOR HISHAM

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Enam lagi kluster baharu Covid-19 dilaporkan di beberapa negeri hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, dua daripada kluster baharu itu dikesan di Sabah iaitu Kluster Megah dan Kluster Mesra yang masing-masing melibatkan kes indeks daripada hasil saringan individu bergejala.

Iklan
Iklan

Bagi Kluster Megah di Sandakan, melibatkan kes indeks (kes ke-13,706) yang dikesan pada 5 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

"Saringan kontak rapat kluster ini, telah mengenal pasti 14 lagi kes positif dan sehingga hari ini, 64 individu disaring dengan 15 kes positif, 12 negatif dan 37 individu masih menunggu keputusan.

Iklan

Bagi Kluster Mesra juga di Sandakan, melibatkan kes indeks (kes ke-13,755) yang dikenal pasti positif Covid-19 pada 7 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 21 lagi kes positif dan dua individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, bagi Kluster Kaya yang melibatkan Daerah Seremban, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya kes-kes dikesan hasil saringan di tempat kerja pada hari ini.

Iklan

Beliau berkata, individu-individu berkenaan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

"Sehingga hari ini, 63 individu disaring dengan 55 kes positif, enam negatif dan dua individu masih menunggu keputusan,” katanya.

KKM turut mengesan Kluster Bah Kayu di Gombak, Selangor dan Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 13 Oktober hasil saringan inidividu (kes ke-17,371) yang pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Katanya, pesakit dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan saringan kontak rapat telah mengenal pasti 16 lagi kes positif Covid-19 dan setakat ini seramai 628 individu telah disaring dengan 17 kes dikesan positif, 591 negatif dan 20 individu masih menunggu keputusan.

Kluster Baki pula dikesan di Kuching, Sarawak hasil saringan individu bergejala (kes ke-20,431) pada 17 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti empat lagi kes positif. Seramai 68 individu disaring dengan 34 individu negatif manakala 29 individu masih menunggu keputusan.

Di Johor pula, Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, KKM mengesan Kluster Kempas melibatkan Daerah Johor Bahru dan Kulai.

Beliau berkata, kes indeks (kes ke-24,447) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 22 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Katanya, saringan kontak rapat telah mengenal pasti tujuh lagi kes positif dan sehingga kini, sejumlah 206 individu telah disaring dengan lapan kes positif selain 28 individu negatif dan 170 individu masih menunggu keputusan.- Bernama