177 institusi pendidikan di Seremban ditutup mulai esok

Iklan
Kenyataan dikeluarkan KPM hari ini.

SEREMBAN - Sebanyak 177 institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Seremban ditutup selama 16 hari mulai esok sehingga 9 November ini susulan daerah itu disahkan sebagai zon merah.

KPM dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu merangkumi sekolah rendah, sekolah menengah, Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan sekolah swasta serta institusi pendidikan yang mempunyai asrama.

Iklan
Iklan

"Keputusan ini selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Oktober lepas berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan yang disahkan zon merah oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Senarai kesemua 177 institusi pendidikan yang ditutup boleh didapati di portal rasmi KPM dan senarai berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Iklan

Kenyataan itu memaklumkan murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

"Keperluan makan dan minum murid serta pelajar sepanjang tempoh ini akan disediakan pihak sekolah dan institusi berkenaan," kata KPM.

Iklan

Sementara itu, murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

"Sepanjang tempoh penutupan tersebut, semua pentadbir sekolah dan institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah dengan manual PdP boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my," katanya.

Negeri Sembilan hari ini merekodkan 96 kes baharu Covid-19 yang kesemuanya di Seremban menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,290 kes.

Seremban mempunyai 179 kes aktif Covid-19, diikuti Rembau (10), Port Dickson (lima), Tampin (empat), manakala Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol masing-masing tiada kes direkodkan. - Bernama