KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kenderaan rasmi yang membawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tiba di Istana Negara pada jam 1.30 petang hari ini bagi menghadiri pertemuan khas antara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bersama Raja-Raja Melayu.
Rombongan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan masuk ke Istana Negara pukul 2.24 petang dan sebelum itu ketibaan rombongan dari Istana Terengganu masuk ke Istana Negara
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tiba di Istana Negara pada pukul 2.28 petang manakala, kenderaan membawa Sultan Perak Sultan Nazrin Shah tiba di Istana Negara pada pukul 2.30 petang.
Pertemuan khas ini bagi membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan terutamanya mengenai penularan koronavirus (Covid-19).
Pertemuan khas ini dijadualkan akan bermula pada jam 2.30 petang dan hanya akan melibatkan Raja-Raja Melayu dan tidak akan melibatkan Yang di-Pertua Negeri atau mana-mana ahli politik.
Terdahulu Al-Sultan Abdullah tiba di Istana Negara kira-kira jam 12.30 tengah hari.