LABUAN - Penemuan seekor buaya sepanjang kira-kira 1.8 meter oleh pemancing tempatan pagi ini menggemparkan pengunjung di lokasi perkelahan Pantai Mawilla di sini.
Susulan penemuan reptilia itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Labuan akan memasang tanda amaran di Pantai Sawangan Cina, Membedai dan sekitarnya dalam masa terdekat sebagai amaran kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati di kawasan habitat buaya itu.
Iklan
Iklan
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7 pagi itu, satu objek yang pada mulanya disangka batang kayu hanyut oleh pemancing, rupa-rupanya seekor buaya apabila spesies air masin itu mula bergerak.
Bagaimanapun, menurut pesanan yang tular menerusi WhatsApp, buaya itu dikatakan telah dibunuh individu yang menjumpainya.
Anggota Perhilitan yang bergegas ke lokasi buaya itu ditemui pada pukul 10 pagi mendapati bangkai reptilia itu telah ditanam oleh orang ramai.
"Pihak kami bergegas ke pantai itu sebaik membaca dan melihat pesanan yang ditularkan melalui WhatsApp dan menggali semula buaya itu untuk tujuan forensik dan pelupusan hari ini,” kata seorang anggota Perhilitan yang enggan dikenali kepada Bernama.- Bernama