KUALA LUMPUR - Lebih 452,000 pengguna di tiga lebuh raya iaitu Lebuhraya Shah Alam (LSA), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Smart bakal menikmati diskaun kadar tol sempena sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan.
Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Trans Kota Holdings Berhad (Litrak), Stephen Low Chee Weng berkata, pemberian diskaun antara 10 dan 30 peratus itu akan bermula 12 tengah malam sehingga 11.59 malam pada 5 Februari ini.
"Diskaun ini adalah antara inisiatif pihak kami dalam mengurangkan beban pengguna semasa perayaan Tahun Baharu Cina. Secara keseluruhan, jumlah anggaran diskaun kadar tol ini berjumlah RM221,500," katanya pada sidang media pengumuman diskaun berkenaan, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Smart Sdn Bhd, Sharifah Alauyah Wan Othman dan Ketua Pegawai Operasi Kesas Sdn Bhd, Mohammed Shah Samin.
Stephen berkata, pengguna kenderaan Kelas 1 di lebuh raya LSA akan menikmati diskaun 10 peratus (RM0.20) manakala peratus (RM0.70) ditawarkan kepada pengguna LDP.
Pengguna Lebuhraya Smart pula akan menikmati 10 peratus atau pengurangan RM0.30 diskaun bagi kenderaan Kelas 1 dan 4 sepanjang tempoh itu.
Terdahulu, beliau meraikan 57 kanak-kanak kurang bernasib baik daripada Rumah Charis dan Rumah Victory, Kuala Lumpur dengan menonton wayang dan pemberian 'angpow'.
Dua rumah kebajikan itu turut menerima sumbangan kewangan RM1,000 bagi membantu mengurangkan beban kos operasi mereka terutama menjelang Tahun Baharu Cina. - Bernama