MMA tolak kerajaan laksana darurat

Iklan
Presidennya, Profesor Datuk Dr M Subramaniam

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menolak sebarang keputusan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat di seluruh negara sebaliknya memberikan tumpuan kepada peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di Sabah.

Presidennya, Profesor Datuk Dr M Subramaniam berkata, semua negeri yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih terkawal dan akan pulih dengan langkah yang diambil pada ketika ini.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, menurutnya, bantuan kewangan yang besar dan segera daripada kerajaan Persekutuan sangat diperlukan untuk mengawal situasi di Sabah atau sistem kesihatan di negeri tersebut akan musnah.

"Penyebaran jangkitan Covid-19 dalam komuniti meningkat di seluruh negeri itu dengan cepat.

Iklan

"Angka yang dilaporkan pada setiap hari mungkin lebih rendah daripada jumlah sebenar disebabkan oleh kelewatan keputusan ujian, pengesanan kontak rapat dan pengasingan individu yang dijangkiti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bilangan katil di hospital kini sudah mencapai kapasiti penuh dan ada di beberapa kawasan didapati kes yang serius akan diasingkan dan menjalani rawatan di rumah.

Iklan

"Kami amat bimbang kes-kes yang yang teruk ini akan meningkat. Jangkitan Sabah dan angka kematian jauh lebih tinggi daripada angka kebangsaan, menjadikannya antara yang tertinggi di seluruh negara," katanya.

Menurut Subramaniam, dilaporkan bahawa petugas barisan depan kini keletihan, menghadapi tekanan mental kerana kekurangan tenaga kerja.

"Lebih ramai petugas kesihatan sangat diperlukan. Kami mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan untuk mendapatkan lebih banyak pertolongan dari kemudahan kesihatan awam dari negeri-negeri lain dengan kes Covid-19 yang rendah.

"Kami dimaklumkan bahawa sebilangan besar penempatan semula dilakukan di dalam negeri Sabah sendiri dan bukan dari negara lain yang mungkin tidak akan dapat meningkatkan jumlah tenaga kerja kesihatan di Sabah," katanya.

Dalam pada itu, kes-kes Covid-19 dijangka terus mencatatkan angka yang tinggi di Sabah kerana masih banyak keputusan ujian belum dapat diselesaikan.

"Bantuan daripada kerajaan amat diperlukan untuk menyelesaikan masalah keupayaan pengujian yang terhad termasuk melibatkan swasta sektor dan sumber antara negeri.

"Kelewatan dalam melakukan ujian sangat mempengaruhi kemampuan sistem untuk hubungi jejak kontak rapat dan mengasingkan individu yang dijangkiti pada masa yang sama mencegah penyebaran jangkitan," katanya.

Tambah beliau, sekarang adalah masa untuk penyelesaian saintifik, praktikal dan koordinasi untuk situasi Covid-19 di Sabah dan bukan masa untuk pertengkaran politik yang tidak dapat memperbaiki keadaan di negara ini.

"Semua rakyat Malaysia harus bersatu dalam peperangan menentang Covid-19 terutama untuk rakyat Sabah.

"Keadaan di Sabah serius dan negara memerlukan semua bantuan dari segi peralatan perlindungan diri (PPE), peralatan perubatan dan bantuan kewangan untuk mereka bagi penjagaan kesihatan.

"Meningkatkan jumlah katil di hospital dan keupayaan untuk melakukan ujian juga sangat diperlukan," katanya.

Subramaniam berkata, tidak seperti Semenanjung, Sabah hanya mempunyai sembilan hospital awam.

"Akses kepada perkhidmatan kesihatan awam bagi kebanyakan orang Sabah amat terhad kerana cabaran utama ialah dari keluasan negeri, lokasi terpencil dan laluan yang tidak mengizinkan," katanya.

Sehubungan itu, MMA mendesak agar kerajaan Persekutuan mempercepatkan dana kecemasan dan semua bantuan untuk membantu Sabah.

"Kami juga meminta semua pemimpin, tanpa mengira fahaman politik dan seluruh negara untuk bersatu Sabah dan lakukan yang terbaik.

"Setiap minit penundaan misi ini untuk Sabah akan meletakkan seluruh negara berisiko menghadapi bencana nasional yang tidak dapat diatasi dan mungkin akan menjadi satu sejarah hitam kepada negara," katanya.