BENTONG - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) kecewa dengan insiden tiga ahli PVATM Bentong ditahan polis ketika membuat kutipan Tabung Hari Pahlawan di Ketari di sini pada Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, Pengerusi Tetap PVATM Pahang, Md Yusof Johari; Setiausaha PVATM Bentong, Wan Ahmad Wan Yusof dan Ahli Jawatankuasa PVATM Bentong, Hassan Adam ditahan kerana didakwa melakukan kutipan tabung daripada orang awam tanpa kebenaran yang sah walaupun menunjukkan surat kebenaran polis.
Timbalan Yang Dipertua PVATM Pahang, Leftenan Kolonel (Bersara) Mohammad Junaidi Salleh berkata, kejadian tersebut dianggap sebagai menghina dan mencabar maruah ahli terutama veteran tentera yang telah berbakti untuk negara sebelum ini.
Beliau berkata, pihak polis juga mengakui ia satu kesilapan berpunca daripada salah faham dan mendakwa sudah diselesaikan di peringkat atasan.
"Kita telah mendapat surat kebenaran. Dalam surat itu, kutipan membabitkan seluruh Malaysia cuma ia dikeluarkan di Balai Polis Dang Wangi menyebabkan berlakunya salah faham terbabit.
"Jadi kita berharap apa yang berlaku pada Rabu lalu dijadikan satu pengajaran semua pihak agar tidak berulang dan kerjasama antara pihak persatuan dan polis selama ini akan terus terjalin," katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.
Seramai 65 ahli terdiri ketua cawangan PVATM dari pelbagai daerah hadir sama untuk menyatakan sokongan terhadap laporan tersebut.
Dalam kejadian Rabu lalu, tiga ahli yang ditahan itu dibawa menaiki kenderaan polis ke IPD Bentong dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.
Sementara itu, Mohammad Junaidi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Negara persatuan berkata, pihaknya membuat laporan polis bagi menyampaikan rasa kecewa veteran ATM terhadap cara tindakan yang diambil oleh anggota polis berkenaan.
"Memang berlaku sedikit salah faham, mungkin penyampaian maklumat dari pihak atasan ke bawah tidak jelas dan pihak yang menjalankan tugas tidak mendapat maklumat jelas.
"Yang kita tidak puas hati ialah cara dia bertindak. Kita rasa terhina maruah kita tercemar dengan uniform yang kita pakai dan orang awam tengok. Tidak wajar ahli PVATM dilayan sebegitu sedangkan ada cara lebih baik dan sopan," katanya.
Sementara itu, Md Yusof berkata, beliau terkejut dengan insiden berkenaan sehingga menjejaskan imej mereka pada orang awam.
"Saya tunjukkan permit tetapi pegawai polis berkenaan mengatakan ia tidak sah kerana kebenaran dari Dang Wangi. Dia minta kad pengenalan dan minta saya ke balai. Saya minta naik kereta sendiri tetapi pegawai polis itu tidak benarkan," katanya.