MANUSIA bekerja keras untuk mendapatkan rezeki halal yang umumnya berbentuk wang dan harta benda. Ada yang berusaha gigih dengan bekerja siang dan malam tetapi ‘rezeki’ yang dapat hanya cukup-cukup makan sahaja. Itulah bahagian yang ALLAH sudah tetapkan.
Namun, jika ALLAH mengizinkan, walaupun kita tidak menginginkan sesuatu, ia tetap akan datang kepada kita sekiranya itu yang ALLAH kehendaki.
Rezeki merupakan salah satu rahsia ALLAH. Ia tidak boleh diduga dengan fikiran manusia. Sering kali ia bergerak di luar jangkauan fikiran. Itulah yang disebut sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka. Kita sebagai manusia haruslah sentiasa bersyukur dengan semua yang telah dikurniakan oleh ALLAH.
Firman ALLAH yang bermaksud,
"Barang siapa yang bertakwa kepada ALLAH, maka ALLAH akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barang siapa yang bertawakal kepada ALLAH, nescaya ALLAH mencukupkan keperluannya.” (Surah At-Talaq ayat 2-3)
Saya ingin berkongsi dua kisah benar berkaitan rezeki yang tidak disangka ini. Kedua-duanya berlaku kepada mereka yang saya kenal.
Yang pertama melibatkan seorang pakar perubatan di tempat saya bekerja. Orangnya bukan sahaja mesra dengan pesakit tetapi cukup disenangi oleh semua termasuk rakan sekerja dan staf bawahan. Selain daripada murah dengan senyuman, dia juga banyak membantu mereka yang memerlukan serta tidak lokek untuk bersedekah.
Atas perkhidmatan yang cemerlang, pihak majikan telah memberikannya Anugerah Pekerja Cemerlang serta dihadiahkan Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM1,000 ketika itu. Rezekinya tidak terhenti di situ sahaja. Beberapa bulan selepas itu, dia mendapat hadiah sebuah kereta mewah BMW melalui cabutan sijil tersebut.
Kisah kedua pula membabitkan seorang ustaz yang bekerja di sebuah agensi agama di Kelantan. Seorang yang warak dan banyak membantu asnaf, dia kurang bercakap tetapi banyak melakukan kerja-kerja kebajikan. Dia juga amat disenangi oleh semua sahabat dan rakan sekerja.
Sebelum wabak Covid-19 melanda negara kita Mac lalu, dia telah ke luar negara atas urusan kerja. Ujian menimpa apabila kad kreditnya telah diklon dan digunakan dalam transaksi berjumlah lebih RM30,000. Dia telah menyekat kad kreditnya serta memfailkan aduan. Alhamdulillah, dia tidak perlu membayar nilai tersebut setelah berjaya membuktikan dia tidak melakukan transaksi terbabit.
Selepas beberapa bulan, dia dihubungi oleh syarikat kewangan yang mengeluarkan kad kredit terbabit. Rupa-rupanya, transaksi yang dilakukan menggunakan kadnya yang telah diklon secara automatik telah masuk dalam satu peraduan dengan hadiah utama berupa sebuah kereta Mini Cooper MINI 60 Years Edition yang bernilai RM256,000. Sudah rezekinya, kejadian kad kreditnya diklon menjadi sebab dia memenangi kereta tersebut yang telahpun dijualnya. Saya percaya duit yang diperolehnya dibelanjakan pada jalan ALLAH.Rezeki sememangnya tidak akan salah alamat. Rezeki juga perlu difahami dengan betul. Walaupun sering dikaitkan dengan perkara yang berbentuk kewangan dan material, rezeki sebenarnya adalah segala yang ALLAH kurniakan dan tentukan untuk setiap hamba-Nya, baik untuk keperluan fizikal (jasmani) mahupun spiritual (rohani). Sesungguhnya ALLAH pencipta seluruh alam ini lebih mengetahui apa yang kita (ciptaannya) perlukan.
Berusaha mencari rezeki dan keredaan ALLAH merupakan tanggungjawab manusia demi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Perbanyakkanlah bersyukur atas segala kurniaan-Nya termasuk jika mendapat rezeki yang tidak disangka.
* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan