FORMAT baharu TM Piala Malaysia membuka peluang kepada Perak untuk mara lebih jauh dalam saingan piala keagungan bola sepak tanah air itu.
Kapten Perak, Shahrul Saad berkata, berdasarkan kepada konsep Piala Malaysia kali ini, ia tidak lagi melibatkan banyak perlawanan yang perlu melalui fasa saingan peringkat kumpulan, suku akhir, separuh akhir dan final seperti sebelum ini.
Justeru menurutnya, ia adalah kesempatan terbaik kepada kesebelasan pemain untuk memberikan aksi terbaik masing-masing bagi memastikan skuad The Bos Gaurus itu dapat mara sekali lagi ke pentas final.
"Bagi saya, konsep Piala Malaysia kali ini lebih kepada gamble game, siapa yang menang, dialah yang akan mara ke peringkat yang seterusnya. Oleh itu bagi saya, setiap perlawanan di peringkat saingan Piala Malaysia kali ini adalah penting dan perlu diharungi dengan sebaik-baiknya.
"Kepada kesebelasan Perak, ini juga dilihat sebagai peluang terbaik untuk mara ke final dan seterusnya memenangi Piala Malaysia kerana game dah tak banyak insya-ALLAH, jika betul-betul boleh ke final kali ini,” katanya.
Tambah Shahrul, skuad The Bos Gaurus itu masih meneruskan latihan seperti biasa di bawah seliaan ketua jurulatih Mehmed Durakovic sebagai persiapan menjelang sepak mula Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 6, 7 dan 8 November depan.
Bagaimanapun Shahrul berharap agar saingan Piala Malaysia tidak ditangguhkan kerana kesebelasan pemain bertekad mahu memberikan aksi terbaik untuk melakar kejayaan.
"Saya juga berharap agar Piala Malaysia ini tidak ditangguhkan kerana hanya Piala Malaysia dapat mengubat kekecewaan kami apabila gagal muncul naib juara CIMB Liga Super lalu," katanya.
Sementara itu, Shahrul turut menafikan dirinya sudah mula dirisik oleh beberapa pasukan lain bagi mengharungi saingan Liga Super 2021.
Katanya, perkhabaran itu hanyalah khabar angin sebagaimana diperkatakan di laman-laman sosial ketika ini.
"Mengenai perkhabaran dirisik ini pada saya tak ada. Lagipun, kontrak saya dengan Perak masih ada sehingga tahun depan.