Conor Coady sesuai ganti Van Dijk

Iklan
Coady dinilai sebagai calon sesuai untuk menggantikan posisi Van Dijk.

BEKAS pertahanan Liverpool, Mark Lawrenson mencadangkan The Reds merekrut pertahanan Wolverhampton Wanderers, Conor Coady bagi menggantikan Virgil van Dijk yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan lutut.

Menurutnya, Coady merupakan pemain sesuai bagi mengisi posisi ditinggalkan van Dijk itu apatah lagi sudah terbukti antara pertahanan terbaik dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Iklan
Iklan

"Saya dapat rasakan bahawa van Dijk akan terlepas aksi musim ini. Jika sempat pulih, amat mustahil untuk melihat dia kembali cergas sepenuhnya musim ini selepas kecederaan teruk itu.

"Jika Liverpool mahu berbelanja besar untuk membeli pemain pada jendela perpindahan Januari, mereka memerlukan pemain yang sudah lengkap. Bagi saya, Coady adalah pemain yang bagus dan sudah bermain banyak perlawanan dalam EPL," katanya.

Iklan

Kecederaan van Dijk itu menyaksikan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp hanya mempunyai pilihan Joe Gomez dan Joel Matip di bahagian pertahanan dengan pemain tengah bertahan, Fabinho juga kini berfungsi sebagai pertahanan tengah The Reds.

Sebelum ini, pertahanan Brighton Ben White dikaitkan dengan Liverpool selepas aksi cemerlang dipamerkannya ketika dipinjamkan bermain bersama Leeds United pada musim lalu.

Iklan

Bagaimanapun, Lawrenson tidak pasti sama ada pemilihan White itu tepat apatah lagi pemain berusia 23 tahun itu tidak mempunyai banyak pengalaman dalam saingan EPL.

"Mungkin terlalu awal buat Ben diberikan peranan besar dalam skuad utama Liverpool. Adakah Liverpool bersedia melaburkan wang dan berfikir dia akan bersedia sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan?

"Tetapi, perkara yang paling baik adalah Ben akan mempunyai masa depan cerah dalam kariernya. Ia tidak akan mengejutkan saya jika dalam tempoh beberapa tahun akan datang dia akan menjadi pertahanan terbaik kerana Klopp mempunyai magis untuk membentuk pemain," katanya.