KUALA LUMPUR - Menteri dan pemimpin tempatan menzahirkan rasa gembira menyaksikan detik bersejarah apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengangkat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Istana Negara, hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook secara peribadi mengakui berasa terharu kerana berpeluang 'duduk' dalam istiadat penting itu sejak dirinya memegang portfolio sebagai menteri.
"Ini hari yang bersejarah bagi saya sendiri kerana kali pertama saya menyaksikan istiadat ini dan ini adalah sesuatu yang memang unik dalam negara kita.
"Ia sistem yang akan terus kita pertahankan dan saya rasa ini keunikan yang perlu kita semua hargai," katanya kepada Bernama, selepas istiadat itu, di sini hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan keperibadian Sultan Abdullah yang amat peramah terserlah, selain mendoakan kesejahteraan Seri Paduka.
"Saya berbangga kerana pada hari ini, rakyat Malaysia secara keseluruhan dapat Yang di-Pertuan Agong baharu yang sangat muda, peramah dan baik orangnya," katanya.
Hari ini, Sultan Abdullah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dengan disaksikan Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) yang berlangsung di Balairung Seri.
Mesyuarat khas itu juga menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor berkata beliau dan seluruh rakyat Selangor percaya Sultan Abdullah akan memimpin negara dengan amat baik.
"Semoga detik bersejarah ini akan mengukuhkan lagi pengurusan dan pentadbiran negara dan seterusnya membawa kemakmuran serta kesejahteraan. Daulat Tuanku."