Mahsuri Food bantu keluarga terjejas Covid-19

Iklan
Mohd Jazri (kanan) menyampaikan bantuan produk makanan kepada seorang penerima yang layak sambil diperhatikan Charles (dua kiri) pada majlis ringkas pengedaran barangan keperluan asas oleh Food Bank di Perhentian Bas Pelabuhan Klang semalam.

PELABUHAN KLANG - Mahsuri Food Sdn Bhd menyumbangkan sebanyak 300 pek barangan keperluan asas mengandungi produk keluarannya seperti kicap dan sos masakan bagi membantu keluarga yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) di sekitar kawasan Klang.

Pengurus Komersilnya, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, pihaknya bekerjasama dengan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang menubuhkan Food Bank sejak dua bulan lalu bagi mengumpul barangan keperluan asas antaranya seperti beras, biskut, makanan tin, bihun,sos tiram, kicap dan lain-lain barang keperluan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program tanggungjawab social korporat (CSR) itu merupakan aktiviti keenam yang dilakukan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak penularan wabak Covid-19 bermula dan akan diteruskan bersama-sama NGO lain pada masa akan datang

"Pihak kami menyumbangkan produk barangan terkenal kami seperti Sos Tiram Mahsuri dan juga Kicap Manis Pedas Mahsuri yang amat laris di pasaran dan berharap ia dapat membantu meringankan sedikit beban warga Klang yang memerlukan,"katanya ketika ditemui selepas mengedarkan barangan keperluan asas oleh Food Bank di Perhentian Bas Pelabuhan Klang, di sini semalam.

Iklan

Selain itu katanya, beliau berharap lebih ramai individu atau syarikat korporat tampil untuk membantu inisiatif Food Bank yang menyasarkan bantuan kepada tiga golongan iaitu hilang pekerjaan akibat Covid-19, bekerja tetapi mengalami pegurangan gaji semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pekerja gaji harian kehilangan kerja.

"Food Bank ini merupakan satu program yang sangat murni dan jika lebih ramai terlibat memberi sokongan, maka lebih ramai penerima yang berkelayakan dapat menerima manfaat," katanya.

CHARLES

Iklan

Sementara itu, Charles berkata, sebelum tampil dengan inisiatif Food Bank, pihaknya sudah memulakan gerakan dengan memberi barangan makanan dan dapur sejak awal PKP dan ia melibatkan seramai 25,000 orang merangkumi kawasan Bukit Raja sehingga Pulau Indah.

"Namun setelah PKP berakhir dan kita memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, ramai yang hubungi saya maklumkan mereka hilang kerja, gaji dikurangkan, pekerjaan tidak stabil dan sebagainya.

"Jadi Food Bank ini kita tubuhkan khusus untuk membantu golongan-golongan yang terkesan ini dan akan diteruskan sehingga keadaan benar-benar pulih dan vaksin Covid-19 ditemui," katanya.

Tambahnya, setakat ini Food Bank terdapat di Perhentian Bas Pelabuhan Klang dan akan diperluaskan ke dua kawasan di daerah Klang iaitu Pandamaran dan Bandar Baru Klang bagi memastikan pengedaran bantuan tersebut lebih menyeluruh.

"Penerima yang layak setelah memenuhi kriteria kami boleh datang terus ke Foodbank di Perhentian Bas Pelabuhan Klang pada setiap Ahad antara jam 2 hingga 3 petang untuk menerima bantuan makanan asas dan bagi mereka yang baru hendak memohon juga boleh datang terus ke sini dan berhubung dengan penyelia kami.

"Kami juga mengalu-alukan sumbangan berbentuk wang tunai melalui CIMB bank (8600 474130) MP klang Training Centre. Selain itu, pihak kami juga berterima kasih kepada Mahsuri Food Sdn Bhd kerana turut serta dengan aktiviti kami," katanya.

Mohd Jazri dan Charles bersama sebahagian penerima dari komuniti Melayu yang hadir pada majlis ringkas pengedaran barangan keperluan asas oleh Food Bank di Perhentian Bas Pelabuhan Klang semalam.