JOHOR BAHRU - Seorang pengerusi koperasi peladang di Pontian dihukum penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM300,000 pada September lalu.
Tertuduh, Alan Lim Boon Siong, 41, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Aizatul Akmal Maharani.
Berdasarkan pertuduhan, Alan selaku Pengerusi Koperasi Peladang Jaya Pekan Nanas, Pontian menyalahgunakan kedudukannya dengan memindahkan dana koperasi ke dalam akaun peribadi miliknya.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Pekan Nanas dengan memindahkan dana berjumlah RM100,000 ke dalam akaun peribadi miliknya pada 1 September lalu.
Pertuduhan kedua, tertuduh yang menjawat jawatan itu sejak 2015 didakwa memindahkan dana berjumlah RM200,000 ke dalam akaun peribadi miliknya di lokasi sama pada 7 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dari dua hingga 20 tahun dan sebat dan denda.
Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah mengurangkan hukuman kerana masih perlu menanggung isteri dan ibu bapa yang sudah berusia.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien meminta mahkamah memberikan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan Alan dihukum penjara empat tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama.
Sementara hukuman penjara selama empat tahun penjara satu sebatan bagi pertuduhan kedua dan kedua-dua hukuman tersebut diarahkan berjalan secara berasingan.