Peniaga mikro diingatkan mohon bantuan GKP sebelum 31 Oktober: LHDN

Iklan

SHAH ALAM - Peniaga mikro yang layak dan masih belum menerima bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) boleh membuat permohonan segera selewat-lewatnya pada 31 Oktober ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, permohonan bantuan kerajaan secara one-off berjumlah RM3,000 itu boleh dibuat secara dalam talian di https://gkp.hasil.gov.my/.

Iklan
Iklan

"Seperti sedia maklum, GKP telah diperkenalkan oleh kerajaan di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tambahan untuk membantu peniaga-peniaga mikro yang terkesan dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Permohonan GKP sebelum ini telah memanfaatkan 545,000 peniaga seluruh negara dengan nilai berjumlah RM1.63 bilion," katanya.

Iklan

Menurutnya, di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (Kita Prihatin), kerajaan telah bersetuju membuka semula permohonan GKP mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober ini dan bayaran dijangka akan dibuat mulai 25 November depan.

Katanya, pemohon boleh membuat semakan keputusan permohonan mulai 15 November depan.

Iklan

"Layari portal GKP di https://gkp.hasil.gov.my/ untuk muat turun syarat-syarat permohonan dan soalan lazim (FAQ) berkaitan bantuan khas ini.

"Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh diajukan kepada LHDNM melalui Hasil Care Line di talian 03-89111000/03-89111100 (luar negara); HASiL Live chat atau mengisi borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.," katanya.