Empat lelaki didakwa halang penjawat awam mengaku tidak bersalah

Iklan
Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Slim River atas pertuduhan menghalang tugas polis. (Laporan Sinar Harian pada 16 Oktober lalu.)

TANJUNG MALIM - Empat lelaki yang sebelum ini tular di media sosial atas pertuduhan menghalang penjawat awam, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Slim River di sini hari ini.

Tertuduh, P Panneerselvan, 32; S Vijandran, 41; A Sivakumar, 28 dan R Durai Raaj, 25, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Hidayah Ismail.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menghalang Koperal Muhd Syahrul Azuwan Abd Manaf daripada menjalankan tugasnya sebagai pegawai polis dengan sengaja tidak memberi kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar serta gagal mengemukakan kad pengenalan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Slim River, Slim River - Tanjung Malim pada jam 3.30 pagi, Jumaat lalu.

Iklan

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Dalam prosiding sama, Durai Raj turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan cara menolak badan dan membuka zip 'vest' polis milik anggota sama di lokasi dan masa yang sama.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat lelaki maki polis dituduh di mahkamah

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 November ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Selasa lalu, kesemua tertuduh telah dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan sama namun, tiada pengakuan direkodkan selepas tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu dan mahkamah membenarkan ikat jamin.

Pada 16 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan empat lelaki ditahan selepas polis menerima aduan terdapat sekumpulan lelaki sedang mabuk dan membuat bising dengan memasang muzik yang kuat di lokasi kejadian.

Anggota Unit Peronda (MPV) yang tiba di lokasi telah memberi nasihat agar mereka beredar dan tidak membuat bising namun, dua daripada mereka kemudiannya mengamuk serta menyerang dengan menolak badan anggota tersebut dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Video kejadian itu tular di media sosial serta mendapat perhatian netizen.