'Itu bukan perbualan DSIS'

Iklan
Paparan perbualan di grup WhatsApp yang tersebar di media sosial kononnya Ismail Sabri akan meminta Muhyiddin membubarkan Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR - Dakwaan yang tular kononnya Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membubarkan Dewan Rakyat disahkan palsu.

Menurut laporan Astro Awani, pegawai kepada Menteri Pertahanan tersebut memaklumkan perkara itu sengaja direka untuk menimbulkan rasa marah rakyat kepada UMNO dan BN serta menjatuhkan Ahli Parlimen Bera berkenaan.

Iklan
Iklan

Katanya, paparan perbualan grup WhatsApp yang tersebar itu menunjukkan kononnya Ismail Sabri memaklumkan kepada Ketua-ketua UMNO Bahagian bahawa beliau dan rakan Kabinet lain akan mencadangkan pembubaran Parlimen adalah tidak benar.

"UMNO dan kepimpinan tidak setuju (diadakan) Pilihan Raya Umum (PRU) dalam keadaan penularan wabak koronavirus Covid-19. Itu bukan perbualan DSIS (Ismail Sabri),” katanya hari ini.

Iklan

Menerusi paparan perbualan itu juga, ia seolah-olah menggambarkan Ismail Sabri meminta persetujuan Ketua-ketua UMNO Bahagian mengenai cadangan pembubaran itu.

Gesaan pembubaran itu dikatakan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menentukan kerajaan seterusnya.

Iklan

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilaporkan mengadakan perjumpaan bersama kesemua Ahli Parlimen parti itu di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pertemuan tersebut dikatakan bagi membincangkan tentang keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah semalam yang menolak pengisytiharan darurat seperti dicadangkan Muhyiddin.

Presiden UMNO itu juga dilaporkan tidak menghadiri perjumpaan antara ketua-ketua parti politik bersama Muhyiddin di Putrajaya, pagi tadi.