SHAH ALAM - Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd (Karangkraf) melebarkan sayap perniagaannya dengan menghasilkan produk pelitup muka tiga lapis yang memenuhi standard perubatan antarabangsa.
Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, pihaknya terpanggil untuk menghasilkan produk baharu itu selepas melihat pemakaian pelitup muka kini menjadi kewajipan masyarakat seluruh dunia termasuk Malaysia susulan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19).
Beliau berkata, selaku syarikat yang terlibat secara langsung dalam sektor pembuatan, Karangkraf menerusi anak syarikatnya, Karangkraf Medicare mengorak satu lagi langkah menghasilkan produk yang mendapat permintaan tinggi di pasaran dengan menawarkan harga lebih murah dan jaminan kualiti.
"Usaha baharu Karangkraf ini sebenarnya untuk membantu masyarakat. Kita sedia maklum bahawa harga produk ini menjadi mahal di pasaran.
"Jadi, saya rasa kita patut buat sesuatu, maka terciptalah pelitup muka yang kita hasilkan sendiri dengan jaminan ia lebih murah dan paling penting ia bersih untuk digunakan tanpa was-was," katanya pada sidang akhbar ketika melancarkan produk pelitup muka keluaran Karangkraf Medicare di Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, buat permulaan sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi mengubahsuai ruang di Kompleks Karangkraf dan membeli dua mesin memproses pelitup muka dari China itu.
Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan bagi pembelian 10 buah mesin yang akan dilakukan secara berperingkat.
Buat masa ini, katanya, Karangkraf Medicare menawarkan dua pakej iaitu saiz kotak Karangkraf yang mengandungi 30 keping dengan harga jualan RM24 dan saiz kotak Karangkraf Plus mengandungi 10 keping dengan harga jualan RM10.
"Menariknya, bagi saiz kotak Karangkraf Plus, kita sertakan bersama sampul kebersihan yang menyerupai sampul duit raya bagi setiap keping pelitup muka bagi memastikan ia dijamin bersih dan selamat.
"Selain itu, rekaannya kotak dan sampul yang disertakan sekali dengan pelitup muka itu juga sangat menarik dan sesuai untuk dijadikan hadiah, manakala saiz kotak Karangkraf yang mengandungi 30 keping itu tidak disertakan dengan sampul kebersihan," katanya.
Menurutnya, bahan mentah untuk menghasilkan produk itu diimport daripada China, manakala bahagian tapisan atau 'melt blown' diimport dari Jepun.
Katanya, produk yang dihasilkan dengan jaminan kebersihan itu juga turut melebihi keupayaan menapis bakteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 98 peratus.
"Pelitup muka yang kita hasilkan ini juga turut diuji di makmal akreditasi. Kita juga sedang menjalankan usahasama dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk mencapai pensijilan produk spesifikasi," katanya.
Ditanya mengenai sasaran perniagaan, beliau berkata, buat permulaan pelitup muka keluaran syarikatnya itu akan memfokuskan kepada pasaran tempatan.
"Ketika ini kita mempunyai dua mesin dan pengeluaran juga masih terhad, jadi kita fokus dahulu kepada pasaran tempatan," katanya.
Selain itu, beliau berkata, Karangkraf Medicare turut mengalu-alukan peniaga kecil termasuklah kakitangan Karangkraf sendiri untuk menjadi stokis atau rakan niaga pelitup muka tersebut.
"Adalah menjadi hasrat kita untuk membantu peniaga kecil untuk menambah pendapatan. Jadi buat masa ini produk pelitup muka ini boleh didapati secara terus di Karangkraf atau rakan-rakan niaga kita nanti," katanya.