LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) diminta memaklumkan lebih awal venue baharu bagi mengharungi baki aksi liga yang dijadualkan pada 31 Oktober ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dilanjutkan sehingga 9 November ini.
Menurut Setiausaha Agung UiTM FC, Mustaza Ahmad, pemakluman awal itu penting bagi membolehkan pihaknya membuat persiapan bagi menghadapi Sabah yang sebelum ini dijadualkan berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam.
"Ini penting sebagai persediaan mental dan fizikal dalam kalangan pemain supaya mereka dapat memberi sepenuh fokus kepada perlawanan kerana kita tidak mahu pemain masih terpinga-pinga bab venue perlawanan ini.
"Untuk pengurusan pasukan juga penting kerana kami perlu merancang jadual mencari tempat penginapan dengan segera kerana harus diingat bahawa 31 adalah Sabtu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Selain pertemuan antara UiTM FC dan Sabah di Stadium UiTM, Shah Alam, MFL turut memaklumkan perlawanan Liga Premier yang menemukan Kuala Lumpur dan Kuching FA dilangsungkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 31 Oktober ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Kuching FA, Iswandi Ali Hassan juga mengharapkan MFL dapat memaklumkan dengan segera pertukaran venue bagi mengelak sebarang kekeliruan kepada keempat-empat pasukan terlibat.
"Kuching FA dan Sabah berkemungkinan besar akan terus berada di Semenanjung selepas berakhirnya baki saingan liga kerana pada 1 November nanti akan berlangsung undian TM Piala Malaysia.
"Jadi saya amat berharap MFL dapat membantu kami dalam menyediakan venue untuk latihan sepanjang berada di Semenanjung sebelum sepak mula saingan Piala Malaysia pada 6, 7 dan 8 November depan,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, skuad The Hawks akur jika mereka terpaksa beraksi di luar Lembah Klang.
Namun, Nokman berharap MFL dapat membantu Kuala Lumpur yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih kerana tidak dapat beraksi di Cheras.
"Dalam situasi ini sebenarnya pasukan tuan rumah (Kuala Lumpur) yang menjadi mangsa kerana sebelum ini tuan rumah sudah boleh jimat perbelanjaan penginapan, stadium dan padang latihan.
"Jika sebelum ini tuan rumah miliki kelebihan dengan status tuan rumah, tapi kini tidak lagi apabila kami terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih,” jelasnya.