KUALA LUMPUR - Lebih 10,000 pegawai dan anggota polis dikuarantin manakala sekurang-kurangnya 200 lagi sedang dirawat selepas disahkan positif jangkitan koronavirus (Covid-19).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kadar jangkitan terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tinggi telah membantutkan keupayaan serta kekuatan pasukan itu dalam penugasan menjaga keselamatan dan keamanan negara.
Beliau berkata, pasukan polis adalah petugas barisan hadapan berpotensi besar terdedah kepada wabak Covid-19 kerana mereka berada paling hampir dengan rakyat, yang belum dipastikan tahap jangkitan.
"Penularan wabak Covid-19 semakin membimbangkan dan ramai petugas barisan hadapan telah terdedah dengan risiko jangkitan wabak tersebut.
"Walaupun mereka (polis) memakai pelitup muka, penugasan anggota polis memerlukan mereka berkomunikasi secara dekat dengan rakyat. Penjarakkan sosial tidak dapat diaplikasikan dengan sempurna dalam menentukan keselamatan dan keamanan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata, terdapat juga anggota yang ditugaskan membantu pihak imigresen untuk menghalang pencerobohan masuk pendatang tanpa izin.
"Menerusi Op Benteng antara 1 Mei hingga 18 Oktober, pasukan keselamatan telah menahan 497 pendatang tanpa izin dan 28 tekong yang cuba memasuki dan keluar negara melalui Sarawak," katanya sambil mengakui bahawa sumber dan kekuatan polis telah digunakan pada tahap maksimum.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dan bersama-sama melawan wabak ini seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurut beliau, penghargaan tertinggi harus diberikan kepada PDRM kerana semenjak penularan wabak itu, ramai dalam kalangan anggota polis yang telah berjuang tanpa menghiraukan penat lelah.
"Ramai juga antara mereka yang masih belum pernah berehat atau meluangkan waktu bersama keluarga. Kita sedang ketandusan masa dan sekarang bukan waktu untuk berpolitik atau melobi sokongan terhadap individu tertentu menjadi Perdana Menteri," katanya. - Bernama