Daulat Tuanku, doa rakyat mengiringi

Iklan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan memberi tabik hormat kepada Kawalan Kehormatan Utama sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Dataran Parlimen hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia hari ini merafak sembah takzim atas perisytiharan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai ketua negara Malaysia yang berdaulat.

Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara menandakan berkuatkuasanya tempoh pemerintahan lima tahun Seri Paduka sebagai payung negara, berdasarkan undang-undang dan Perlembagan Persekutuan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan melafazkan sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Balairung Seri, Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

Iklan
Iklan

Dalam lafaz sumpah berkenaan, Sultan Abdullah berikrar akan melaksanakan pemerintahan dengan adil dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan pada setiap masa kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Raja-raja Melayu hadiri mesyuarat khas sempena Istiadat Melafaz Sumpah Agong ke-16

Iklan

Sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong secara undang-undangnya mempunyai kuasa terhadap tiga institusi kerajaan iaitu badan eksekutif, perundangan dan memainkan peranan berkaitan badan kehakiman.

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Balairung Seri, Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

Istiadat hari ini yang turut menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah melafaz sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melengkapkan lagi sistem raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

Iklan

Baginda berdua dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari lepas, susulan peletakan jawatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lepas.

Kemuafakatan dan keharmonian dalam kalangan sultan dan raja Melayu membuat keputusan memilih Sultan Abdullah, 59, dan Sultan Nazrin, 62, dalam masa yang singkat meneruskan kesinambungan institusi diraja yang menyaksikan perisytiharan di Balairung Seri berlangsung penuh istiadat.

Kali terakhir bendera rasmi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan di Pahang adalah ketika Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Almarhum Sultan Abu Bakar memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ketujuh pada 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

Laungan ‘Allahu Akbar' dan ‘Daulat Tuanku’ dan doa ribuan rakyat yang mengambil kesempatan cuti umum di Pahang untuk berhimpun seawal 6.30 pagi di Pangkalan Udara Kuantan untuk Istiadat Memuliakan Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mengiringi raja tercinta untuk memulakan tugas baharu.

Keberangkatan Sultan Abdullah dan Raja Permasuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dari Istana Abdulaziz, Kuantan ke Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim, Bukit Damansara diiring doa dan harapan rakyat jelata.

Segak memakai persalinan sedondon berwarna biru firus, keceriaan terpancar di wajah Seri Paduka berdua yang tanpa henti membalas lambaian rakyat Pahang, sebagai tanda penghargaan.

Sultan Abdullah yang pernah bertitah semasa pemasyhuran sebagai Sultan Pahang pada 15 Januari, bahawa ‘raja dan rakyat berpisah tiada, raja dan rakyat sehati sejiwa’ terserlah semasa Seri Paduka melangkah masuk ke pesawat khas, secara spontan mengetepikan protokol apabila melayangkan ‘isyarat ciuman’ kepada khalayak.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di ibu negara bermula di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang diikuti dengan istiadat di Dataran Parlimen, sebelum berlangsung kemuncak istiadat melafaz sumpah penuh tradisi Kesultanan Melayu di Istana Negara.

Disiarkan secara langsung menerusi siaran radio dan televisyen, istiadat hari ini menyaksikan perisytiharan Sultan Abdullah sebagai ketua negara oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di hadapan Raja-raja Melayu dari Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Johor, Kelantan (diwakili Tengku Mahkota Kelantan) dan Pahang diwakili Pemangku Raja.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Memanjatkan doa ke hadrat ALLAH SWT, Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar memohon kesejahteraan ke atas Seri Paduka berdua, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, kerabat diraja serta seluruh rakyat dan negara ini.

Istiadat Sembah Kenal mengakhiri peristiwa bersejarah hari ini dengan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap dif-dif kenamaan antaranya Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum, Ketua Hakim Syarie, Datuk Mukhyuddin Ibrahim, Peguam Negara Tommy Thomas, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. Vigneswaran dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar. Dirgahayu Tuanku. - Bernama