JEMPOL - Dua penganggur yang menjadi tokan dadah ditahan di dua lokasi berasingan di Felda Palong 8 dan Jalan Simpang Pertang, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kedua-dua individu terbabit berusia 45 dan 31 tahun, masing-masing ditahan dalam satu operasi pada Sabtu lalu dan juga melalui rondaan dilakukan polis serta anggota tentera kelmarin.
"Suspek pertama seorang warga Felda Palong berusia 45 tahun ditahan pada jam 10.55 malam, Sabtu lalu ketika pasukan polis menjalankan Ops Tapis di sekitar kawasan Felda Palong 8.
"Hasil pemeriksaan terhadapnya menjumpai satu peket plastik lut sinar mengandungi lapan peket lut sinar pelbagai saiz berisi serbuk bahan disyaki dadah jenis heroin dan satu peket plastik lut sinar berisi serbuk bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat keseluruhan 48 gram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kedua berusia 31 tahun pula ditahan ketika pasukan polis dan anggota tentera melakukan rondaan kelmarin di sebuah pam minyak di Jalan Simpang Pertang, Jempol pada jam 6.45 petang.
"Suspek menunggang motosikal jenis Yamaha Y 15ZR, warna biru hitam didapati berada dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek menjumpai satu bekas besi warna hitam berisi satu peket plastik lut sinar di dalamnya mengandungi ketulan putih disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 2.75 gram dan satu peket plastik lut sinar berisi ketulan putih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 1.31 gram," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, suspek berumur 45 tahun direman tujuh hari bermula kelmarin dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 manakala seorang lagi berusia 31 tahun yang tinggal di Felda Serting Hilir direman empat hari bermula semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(3) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Menurut beliau, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan dadah dan didapati positif dadah menerusi ujian urin.