SERI KEMBANGAN - Pengusaha premis makanan di Selangor tidak akan memberikan straw secara terus kepada pelanggan bermula 1 April ini.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, arahan tersebut tidak bermaksud mengharamkan penggunaan straw.
Menurutnya, ia sebagai memberi pendidikan berterusan kepada orang awam bagi meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar.
"Pengguna masih boleh guna straw tapi perlu minta dan pengusaha restoran pula dilarang meletakkan straw di tempat terbuka (kaunter) seperti yang dilakukan sebelum ini.
"Kita ambil langkah ini kerana mahu kurangkan penggunaan straw selepas plastik," katanya selepas merasmikan pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2019, di pusat beli-belah Aeon Taman Equine, di sini.
Terdahulu, Loy Sian berkata, kerajaan negeri tidak bercadang mengenakan caj ke atas penggunaan straw sebaliknya melaksanakan konsep pemberian bila diminta selaras hasrat kerajaan pusat supaya premis makanan tidak lagi memberi straw secara automatik.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, larangan penggunaan plastik melalui caj 20 sen tidak menyusahkan pengguna.
"Caj dikenakan dengan harapan pengguna membawa beg kitar semula seterusnya ia dapat mengurangkan penggunaan plastik.
"(Namun) banyak syarikat mula hasilkan plastik biodegradasi dan yakin tiada masalah daripada pengguna berhubung kempen tiada plastik," katanya.
Beliau berkata, kerajaan pada masa ini belum menguatkuasakan larangan sepenuhnya sebaliknya lebih memberikan pendidikan.