KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Suspek Macau Scam, Goh Leong Yeong@Alvin yang melarikan diri dengan memanjat pagar belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya akhirnya diberkas polis selepas 15 hari diburu.
Susulan itu, Alvin kini direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan bersama seorang wanita di sebuah hotel di luar Lembah Klang kira-kira jam 1 pagi tadi.
"Alvin yang berstatus 'wanted' akan disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(C) Akta Judi Terbuka 1953.
"Selepas tindakan itu diambil, dia (Alvin) akan ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Tambahnya, status wanita yang ditahan bersama suspek juga akan disiasat.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis buru Datuk Seri larikan diri
Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan polis sedang memburu seorang lelaki yang melarikan diri selepas dibebaskan dengan jaminan SPRM kerana terlibat dengan kes Macau Scam.
Suspek utama itu dikatakan memanjat pagar belakang bangunan SPRM di Putrajaya sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar.
ARTIKEL BERKAITAN: Addy Kanna terlibat Macau Scam, judi online, tipu Forex
[DIKEMASKINI] Addy Kanna, Leong Yeong ejen Macau Scam: PDRM
Dua pengawal peribadi bantu 'Datuk Seri' loloskan diri