IPOH - Kementerian Kesihatan menyarankan satu dasar baharu iaitu sifar anjing liar dilaksanakan di kawasan yang diwartakan sebagai wabak anjing gila atau rabies.
Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, saranan itu sebagai satu inisiatif kerajaan dalam menjamin kesihatan dan keselamatan penduduk berikutan penularan jangkitan yang boleh membawa maut.
"Penularan penyakit rabies ini adalah serius, boleh dikatakan kadar kematian untuk kes ini, hampir 100 peratus pesakitnya akan mati. Tanggungjawab kementerian adalah menjaga dari segi rawatan dan sebaran penyakit.
"Jika tiada anjing liar, maka wabak rabies ini memang tidak akan ada. Ini satu fakta, kerana itu dasar ini perlu dilaksanakan di tempat yang dikesan ada wabak supaya tiada jangkitan terhadap manusia berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Gopeng di sini, hari ini.
Menurutnya, dasar berkenaan bukanlah bermaksud kementerian menggalakkan langkah memusnahkan anjing liar dengan cara membunuh, sebaliknya terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi.
"Antaranya memastikan pemilik tidak membiarkan anjing peliharaan mereka berkeliaran tanpa kawalan dan sekiranya anjing tiada pemilik, maka perlu pastikan ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudi tampil mengambil hak penjagaan dan kebajikan haiwan ini.
"Hanya apabila kedua-dua langkah ini tidak dipatuhi, barulah langkah pemusnahan dipertimbangkan dilaksanakan. Pemilikan anjing yang berkeliaran penting bagi memastikan haiwan ini terima suntikan vaksin setiap tahun. Anjing yang tak terima vaksin ada kebarangkalian membawa virus rabies, ini yang kita takuti berlaku,” katanya.
Dr Boon Chye berkata, buat masa ini, kementerian hanya menyarankan dasar itu dilaksanakan di kawasan wabak sahaja, namun bergantung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sekiranya mahu mekanisme sama digunakan di tempat-tempat yang bukan dijangkiti.
"Negara-negara maju seperti di Belanda, Jepun dan Singapura juga mengguna pakai dasar ini kerana itu jarang kita lihat ada anjing berkeliaran di sana sini,” katanya.