KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) meminta semua pihak akur dengan titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar menghentikan semua tindak-tanduk politik yang boleh menggugat kestabilan pemerintahan negara.
Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, titah Seri Paduka Baginda selari dengan prinsip gabungan itu yang konsisten mahu semua pihak menghentikan permainan politik dan fokus kepada usaha menangani koronavirus (Covid-19) serta pemulihan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik berkenaan.
"GPS berharap semua pihak akur akan titah dan nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negara, di samping memperakui kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, gabungan itu menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah dan kebijaksanaan Raja-raja Melayu yang telah bersidang Ahad lepas sebelum mengambil keputusan untuk tidak mengisytiharkan darurat di negara ini.
Katanya, Al-Sultan Abdullah juga turut menyatakan keyakinannya dengan keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 daripada terus merebak.
Fadillah yang juga Menteri Kanan Infrastruktur merangkap Menteri Kerja Raya dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, rakyat seharusnya menjadi keutamaan oleh semua ahli-ahi politik dalam apa jua keadaan terutama dalam berdepan cabaran penularan Covid-19 ketika ini.
"GPS menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan betapa pentingnya Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang ini, dalam menangani wabak Covid-19,” katanya.
Selain PBB, GPS yang ditubuhkan pada 2018 sebagai gabungan empat parti tempatan Sarawak yang turut melibatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang membentuk kerajaan negeri itu. - Bernama