SEPANG - Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina menggamit pengunjung sepanjang musim perayaan ini sepanjang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.
Lapangan-lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dihias indah dengan konsep perayaan itu dengan hiasan pentas yang menarik dipenuhi bunga sakura, selain persembahan tarian singa dan muzik tradisional cina.
Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, beberapa insentif itu diadakan bagi memberi pengalaman menarik dan mempromosikan perayaan Tahun Baru Cina yang diraikan di Malaysia.
"Kita mahu memberi pengalaman berharga kepada pelancong dan pengguna lapangan terbang kendalian MAHB sebelum mereka menuju ke destinasi masing-masing," katanya katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan cenderahati sempena Tahun Baru Cina kepada pengunjung di KLIA hari ini.
Pada majlis itu selain persembahan tarian singa, pengunjung diberikan limau mandarin, kuih kacang dan sampul duit.
Selain itu jelasnya, terdapat pelbagai peraduan yang dianjurkan MAHB bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina yang menawarkan hadiah-hadiah menarik termasuk beg edisi terhad serta telefon pintar Huawei Mate 20.
"Pelanggan yang berbelanja minimum sebanyak RM288 di permis makanan dan minuman lapangan-lapangan terbang antarabangsa kita juga akan diberikan sampul duit edisi terhad, bagi pemegang kad Unionpay.
"Selain itu, pelanggan yang berbelanja minimum RM1,688 menggunakan kad Unionpay atau RM1,888 melalui perkhidmatan bayaran lain dalam satu resit di KLIA juga akan mendapat hadiah premium Royal Selangor serta sampul duit ekslusif," katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melawat laman web MAHB di www.malaysiaairports.com.my.