GEORGETOWN - Seorang lelaki berusia 22 tahun menjadi individu pertama di negeri ini yang didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan pindaan 2020 selepas dikuatkuasakan Jumaat lalu.
Tertuduh, Saw Yen Yew dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown di sini hari ini kerana menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol dua hari lalu.
Bagaimanapun, Yen Yew yang berasal dari Sungai Ara, Bayan Lepas mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.
Mengikut kertas pertuduhan, Yen Yew didakwa menunggang motosikal dalam keadaan melebihi kadar alkohol yang ditetapkan iaitu 125mg alkohol dalam 100 darah di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ketika ditahan jam 2.55 pagi, Ahad lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.
Peguam Mohd Ismail Mohamad dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan jaminan setimpal berikutan Yen Yew baru mendapat pekerjaan sebagai juruteknik komputer selain masih muda.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Erma Yanti Abdul Rahim meminta mahkamah memberikan jumlah jaminan yang tinggi.
Rosnee kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 November ini sebagai tarikh sebutan semula.
Terdahulu, media melaporkan pada 21 Oktober lalu, Rang Undang- undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah jalan raya membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 dikuat kuasa bermula 23 Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, akta baharu itu diyakini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai terhadap pematuhan undang-undang.