Kenapa kita perlu berasa panik? Ini bukan pertama kali kita menghadapi pandemik Covid-19.
Apa yang tidak pernah kita lalui sejak Mac 2020? Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat daripada sekarang, disusuli dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Diperketat (PKPD) dibeberapa kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kini PKPB di beberapa negeri susulan angka kes Covid-19 kembali meningkat.
Pengalaman lalu sepatutnya mendewasakan kita. Jadi, tak perlu untuk kita berasa panik. Dengan pengalaman itu, walau sesingkat mana sekalipun kita seharusnya boleh tangani Covid-19 dengan lebih baik. China dan New Zealand memberikan contoh terbaik menangani Covid-19.
Kita mesti berani tetapi pada masa yang sama perlu ada rasa empati dan baik hati. Kita semua, tidak kira kerajaan dan rakyat, orang politik dan orang biasa, mesti bertindak tegas dan cepat ketika mendepani virus ini. Tidak boleh berbasa-basi. Padah akibatnya jika ambil sambil lewa seperti yang berlaku di Sabah dan impaknya kini merebak di Semenanjung.
Kita pernah diiktiraf berjaya oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika menghadapi gelombang pertama. Kenapa tidak berjaya pada gelombang kedua dan ketiga? Sedangkan kita sudah ada pengalaman, sudah tahu punca jangkitan, malah fasih segala prosedur operasi standard (SOP) untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.
Jadi, kenapa keadaan menjadi parah pada gelombang ketiga ini? Masing-masing ada jawapan bagi persoalan ini. Kita tahu puncanya dan seharusnya semua pihak berani mengaku dan membetulkan kesilapan.
Begitu juga dalam isu pembelian panik. Walaupun tidak begitu menonjol tetapi sikap itu masih wujud. Ada rakyat Malaysia yang tidak belajar daripada pengalaman. Mereka tidak sedar bahawa sikap individualistik itu boleh menyusahkan orang lain.
Bekalan makanan dan barang keperluan asas mencukupi, maka tidak perlu berlaku pembelian panik. Tidak perlu kelam kabut simpan stok barang makanan dan keperluan harian di rumah. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga sudah berkali-kali menyebut Malaysia tidak akan terputus bekalan makanan!
Bekalan kita bukan sahaja cukup malah harga barang stabil dan tiada kes kenaikan harga mencanak atau tidak munasabah berlaku pada masa ini. Jadi, tidak sepatutnya pembelian panik dan stok barang di rumah berlaku lagi.
KPDNHEP mempunyai seramai 2,962 pegawai penguat kuasa yang digerakkan di seluruh negara bagi memastikan barangan keperluan di pasaran mencukupi. Ini bagi memastikan tiada peniaga menangguk di air keruh dan sengaja menaikkan harga atau melakukan pelanggaran etika perniagaan sehingga membebankan pengguna.
Terkawal
Jika diimbas kembali, bukan hanya bekalan tetapi harga barangan juga terkawal terutama pada musim tiga perayaan besar sepanjang tempoh PKP iaitu Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai. Bekalan dan harga bawang juga terkawal kerana negara mengimport berjuta tan bawang bukan sahaja dari India, tetapi negara lain termasuk Pakistan, Belanda, China, Laos dan Vietnam.
Kenapa? Kerana kerajaan tak mahu bawang yang menjadi bahan utama masakan Malaysia terlalu bergantung kepada sebuah negara dan akibatnya bekalan terputus jika berlaku bencana di negara itu seperti kemarau dan banjir.
Yang diperlukan ialah kerjasama daripada pengguna. Ubahlah. Jika tidak boleh ubah, toleransilah sedikit pada tekak dan citarasa kita. Jangan bila India laksanakan embargo eksport bawang ke Malaysia yang mengakibatkan harga mencanak, tekak kita tetap juga nak bawang India.
Tekak nak, tapi poket tak nak. Apa yang berlaku? Komplen! Komplen! Komplen! Harga bawang tinggi, harga bawang macam harga emas! Tahanlah sikit tekak tu. Gantilah dengan bawang dari Vietnam, Pakistan atau Belanda. Bukan lama, sementara waktu sahaja. Pasti bila pengguna dah ‘melupakan bawang India’ buat sementara waktu, harganya akan turun.
Sama juga dengan kes ayam. Ketika kita berada dalam gelombang pertama dan kedua, harga ayam stabil. Kini, harga ayam siap proses di pasar basah Putrajaya sekitar RM8 seekor.
Timbalan Menteri KPDNHEP pernah menzahirkan kehairanannya terhadap sikap pengguna. Ketika turun padang ke Kuala Terengganu, beliau menerima aduan tentang harga ayam di pasar basah. Sedangkan harga ayam di pasar raya yang terletak kira-kira 10 minit dari pasar basah dijual lebih murah sehingga RM3 berbeza daripada harga di pasar basah. Bukankah itu penjimatan?
Selepas diselidik, didapati pengguna enggan ke pasar raya kerana beranggapan ayam yang dijual tidak segar. Ini menunjukkan pengguna tidak tahu fakta tentang kesegaran. Sebenarnya ayam tidak lagi dibenarkan disembelih di pasar tetapi sebaliknya diproses di ladang pengeluaran ayam. Jarak dari ladang ke pasar basah dan pasar raya adalah sama untuk menentukan kadar kesegarannya!
Berubah
Sikap inilah yang perlu diubah. Pengguna perlu sentiasa peka. Kerajaan juga tidak boleh putus asa mendidik seramai 32 juta pengguna di Malaysia agar menjadi pengguna bestari yang bermaklumat. Sebelum ke pasar, pengguna dinasihatkan periksa harga barangan di mobileapps PriceCatcher untuk mengetahui harga terkini. Terkini tidak semestinya hari ini, mungkin semalam! Tetapi cukup memberi gambaran untuk kita menguruskan pembelian dengan bijaksana.
Sebelum keluar membeli-belah, periksa dahulu mobileapps MySaleTracker. Cara ini dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan serta pada masa yang sama mengurangkan pengguna daripada terdedah kepada virus Covid-19 sekali gus memperoleh harga terbaik bagi setiap pembelian.
Gunakan dan bandingkan dengan harga yang terpapar di online marketplace seperti Shopee dan Lazada untuk dijadikan kayu ukur harga barangan di pasaran.
Kalau rasa harga berpatutan dan menjimatkan, lakukan pesanan dan pembelian secara dalam talian itu. Jimat kos petrol ke mall dan bayaran parkir. Tetapi pastikan peniaga dalam talian itu benar dan berdaftar, bacalah ulasan pengguna lain untuk mengelakkan daripada ditipu.
Apa kaitan sikap pengguna dengan pandemik? Sikap kita mencerminkan diri kita. Virus Covid-19 merebak di luar jangkaan kerana sikap kita sendiri. Ia berkait rapat dengan sikap kita dalam menguruskan kebersihan diri dan persekitaran, sikap mematuhi SOP dan sikap terhadap ‘nafsu dan kehendak’ sendiri.
Kita semua adalah ‘frontliners’ yang bertanggungjawab untuk memutuskan rantaian penularan wabak ini. Patuhi SOP dan jadikan diri sendiri sebagai penguat kuasa dalam setiap tindak tanduk kita. Jangan panik!
#kitajagakita
#selamatkanMalaysia
#belanjauntukMalaysia
#barangbaikbarangkita