Mujahid pertikai keputusan UMNO kekal sokong PN

Iklan
DR MUJAHID YUSOF

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mempersoalkan keputusan UMNO semalam yang menetapkan untuk terus kekal menyokong Perikatan Nasional (PN).

Mujahid turut mempersoalkan apa yang mendorong UMNO untuk tidak berganjak dari posisinya sejak gencatan politik tempoh hari dan sama ada UMNO benar-benar mahu menumpu kepada usaha memerangi wabak koronavirus (Covid-19) buat masa ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun sikap politik UMNO boleh difahami masih di takuk lama iaitu mengekalkan status quo tetapi ada yang baharu cuba diselitkan dalam kenyataan semalam iaitu perkataan 'rekonsiliasi nasional' (perdamaian nasional) rentas semua parti.

"Dalam kenyataan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) itu juga ada menyatakan bahawa perdamaian nasional masih tetap bersyarat iaitu tanpa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Apakah pakej rekonsiliasi ada syaratnya?

Iklan

"Jika perdamaian nasional yang dimaksudkan tanpa PKR dan DAP, adakah ini bermaksud kemenangan PH (Pakatan Harapan) secara bermandat sebagai kerajaan pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu mahu dinafikan?

"UMNO dan mentaliti super egonya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP masih tidak berubah walaupun pada hakikatnya UMNO tahu kerajaan PN tertegak atas pembelotan mandat rakyat dan telah mengundang celaka besar kepada ketidaktentuan politik nasional sekali gus mengganggu tumpuan mengendalikan krisis Covid-19," tulisnya di Facebook hari ini.

Iklan

Semalam, Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat selama empat jam bermula jam 8.30 malam sebelum mencapai kata sepakat untuk kekal menyokong kerajaan PN.

Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO juga memberitahu, pihaknya juga mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP, selain turut menyarankan agar inisiatif rekonsiliasi nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam kerajaan PN dan juga parti-parti pembangkang.

Mengulas lanjut Mujahid berkata, mentaliti UMNO masih tidak dapat menerima realiti keputusan demokrasi yang dimenangi oleh PH serta DAP dan walau apapun pandangan politik dilemparkan kepada DAP ia adalah entiti yang sah dan telah membuktikan keabsahannya malah memerintah sebuah negeri.

"Apakah kita tidak menghormati keputusan rakyat yang memberikan kepercayaan kepada calon-calon DAP yang membentuk kerusi yang besar dalam PH sebagai kerajaan pra pembelotan Sheraton?

"Jika perdamaian nasional bersyarat, maka UMNO masih berpolitik dengan cara yang sangat merbahaya kepada asas demokrasi dan akan tersisih bersama pembelotan yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan konco-konconya jika terlalu membawa ego ethno-centric (ego perkauman).

"Hanya satu saya kira tumpuan UMNO, bukan tumpu lawan Covid-19 atau ajakan kepada perdamaian nasional tetapi adalah untuk bubar Parlimen dan bersedia untuk PRU," katanya.

Tegasnya, jika benar apa yang beliau katakan, maka jelaslah ia politiking makam tertinggi yang UMNO sedang dimainkan dengan menggunakan alasan tumpu Covid-19 dan perdamaian nasional sebagai topeng, walaupun UMNO tahu PRU tidak relevan buat masa ini tetapi ia memerlukan ruang selesa untuk bersedia ke arah itu.

Mujahid berkata, pembelotan dan kecurangan kepada hak demokrasi berpolitik dan hak rakyat menentukan pilihan adalah halangan awal perdamaian nasional, dan kepelbagaian serta kemajmukan Malaysia pula memerlukan parti-parti politik meninggalkan teras ego perkauman dan ego kepartiannya.

"Rakyat memerlukan sesuatu yang lebih keramat dan menuntut parti-parti berganjak kepada tahap ego nasional.

"Ego nasional dikongsi semua pihak dan menjadi sebab kepada rekonsiliasi dapat dijayakan kerana dalam proses itu, semua kita akan memelihara Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Ego nasional mesti dipertahankan bukan ego kepartian yang sempit," katanya.