Pemimpin perlu jadi teladan pakai tali pinggang keledar

Iklan
Miros menyeru ahli politik, penjawat awam dan pemimpin masyarakat, mempamerkan teladan dalam pemakaian tali pinggang keledar bagi mendidik orang ramai memakainya di dalam kereta. (Gambar hiasan)

KUALA LUMPUR - Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menyeru ahli politik, penjawat awam dan pemimpin masyarakat, mempamerkan teladan dalam pemakaian tali pinggang keledar bagi mendidik orang ramai memakainya di dalam kereta, bagi pemandu serta penumpang di hadapan dan belakang.

Pengerusinya, Datuk Suret Singh berkata, kajian Miros berhubung pemakaian tali pinggang keledar pada tahun ini menunjukkan kadar pematuhan bagi pemandu adalah 90 peratus, penumpang hadapan 70 peratus dan 11 peratus bagi penumpang di bahagian belakang.

Iklan
Iklan

"Memakai tali pinggang keledar dengan betul bagi pemandu serta penumpang di bahagian depan dan belakang, secara drastik dapat mengurangkan risiko kecederaan parah dan kematian akibat kemalangan sebanyak 50 peratus.

"Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang dipasang dengan betul dan sesuai dengan ketinggian serta berat badan, dapat membantu mengurangkan risiko kematian bayi sebanyak 71 peratus dan 54 peratus bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, hampir semua kenderaan yang dikeluarkan sejak tahun 1993 telah dilengkapi dengan tali pinggang keledar, justeru beliau menyeru masyarakat menjadikan pemakaian tali pinggang keledar sebagai satu kebiasaan dan budaya harian.

"Teladan yang baik dan peringatan harian kita kepada rakan dan keluarga akan bantu menyelamatkan nyawa. Ibu bapa juga harus membiasakan anak-anak mereka sejak bayi untuk menggunakan CRS,” katanya.

Iklan

Beliau juga berkata, rombakan Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (Kejara) sedang dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia dan Miros, untuk dilaksanakan setelah integrasi data antara JPJ dan polis selesai.

"Tidak memakai tali pinggang keledar akan menyebabkan anda dikenakan mata demerit. Tidak berbaloi lesen memandu anda ditarik hanya kerana tidak memakai tali pinggang keledar, yang hanya memerlukan tiga saat.

"Amat menyedihkan apabila melihat penumpang dan bayi tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan jalan raya. Penyelesaian untuk mencegahnya ada di tangan kita.

"Jadikan tali pinggang keledar dan CRS sebagai kebiasaan sebelum memulakan perjalanan,” katanya. - Bernama