KUALA LUMPUR - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperkenalkan inisiatif Bumiputera Relief Financing (BRF) yang menawarkan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta.
PUNB dalam satu kenyataannya berkata, inisiatif tersebut khusus bagi membantu perniagaan bumiputera yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dalam meneruskan operasi perniagaan mereka.
"Semua perniagaan bumiputera yang layak boleh memohon BRF bermula Selasa, 25 Ogos 2020 sehingga keseluruhan pembiayaan telah habis disalurkan.
"Antara syarat-syarat permohonan BRF ialah perniagaan bumiputera yang terjejas akibat daripada ekonomi merudum disebabkan oleh pandemik Covid-19 dengan minimum hasil perolehan jualan sebanyak RM300,000 setahun.
"Perniagaan milik bumiputera (sekurang-kurangnya 70 peratus pemegang saham syarikat adalah bumiputera) selain rekod kewangan yang memuaskan," kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, antara syarat lain ialah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau badan-badan kerajaan atau pihak berkuasa tempatan yang diiktiraf.
Katanya, permohonan itu juga tidak termasuk entiti yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat-syarikat subsidiari entiti berikut, syarikat senarai awam (tempatan atau asing); syarikat multinasional (MNC) atau firma besar; syarikat berkaitan kerajaan (GLC); syarikat menteri kewangan diperbadankan (MKDs); syarikat milik kerajaan negeri dan koperasi.
"Permohonan BRF boleh dibuat melalui dalam talian di portal rasmi PUNB di www.punb.com.my.
"Proses penuh permohonan adalah selama 21 hari bekerja, namun ia tertakluk kepada pemohon yang telah menghantar dokumen dengan maklumat yang lengkap dan betul, menepati semua syarat serta bebas daripada sebarang tindakan undang-undang oleh mana-mana institusi kewangan atau mana mana pihak yang berkaitan.
"Pemohon yang tidak mengemukakan permohonan lengkap diberi tempoh selama tujuh hari untuk menghantar dokumen yang diperlukan," katanya.
Tambah kenyataan itu, sekiranya tamat tempoh tujuh hari tersebut dan pemohon yang masih berminat boleh membuat permohonan baharu berserta dokumen serta informasi yang lengkap.
"Sekiranya permohonan anda berjaya, penyaluran dana adalah mengikut skop pembiayaan seperti berikut iaitu modal kerja, sistem automasi dan peralatan serta perbelanjaan untuk melaksanakan amalan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
"Pembiayaan akan disalurkan terus ke dalam akaun pembekal atau pihak berkaitan seperti yang diluluskan manakala pengembalian pembiayaan ke dalam akaun syarikat bagi pembelian atau urus niaga yang telah dilakukan selepas 1 Mac 2020 perlu bersertakan bukti pembayaran," katanya.
Katanya lagi, bagi perbelanjaan operasi, pembiayaan akan disalurkan terus ke dalam akaun syarikat mengikut keperluan bulanan perbelanjaan operasi.